DADAH jenis heroin yang ditemui polis daripada seorang lelaki warga Myanmar yang melarikan diri ketika sekatan polis. Gambar kecil, suspek berusia 35 tahun. NSTP/IHSAN PDRM
DADAH jenis heroin yang ditemui polis daripada seorang lelaki warga Myanmar yang melarikan diri ketika sekatan polis. Gambar kecil, suspek berusia 35 tahun. NSTP/IHSAN PDRM
Zuliaty Zulkiffli


TINDAKAN lelaki warga asing memandu melawan arus dan cuba membuat pusingan U di hadapan Taman Kelisa, Mergong, Alor Setar, untuk melarikan diri dalam sekatan polis, gagal apabila ditahan semalam.

Lelaki warga Myanmar berusia 35 tahun dan menetap di Kampung Berjaya, dekat sini ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kota Setar, malah pemeriksaan lanjut menemui dadah dalam kereta Proton Saga yang dipandunya itu.

Dalam kejadian 4 petang itu, anggota terbabit sedang bertugas dalam Ops Motosikal/Ops Selamat 13/2018 di Lebuhraya Sultanah Bahiyah yang turut disertai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Deputi Superintendan Hussin Zamora.

Menurut sumber, suspek dikatakan turut bertindak agresif dengan melanggar anggota Sukarelawan Polis yang menunggang motosikal di susur ke Jalan Putra selepas anggota terbabit mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan itu.

"Akibat perlanggaran itu, anggota sukarelawan polis itu cedera dan patah jari tangan kanan sementara suspek terus memecut kenderaannya menghala ke Jalan Gangsa.

"Bagaimanapun, sebaik tiba di kedai makan di Jalan Gangsa, anggota polis ternampak suspek keluar dari kenderaan itu dan cuba melarikan diri ke arah pasar raya berhampiran, namun anggota polis cuba menahannya menyebabkan suspek bertindak agresif dan cuba melawan polis," katanya.

Sumber berkata, dia berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan pada badannya menemui beg silang berwarna coklat mengandungi satu kotak rokok berisi dua paket plastik lutsinar pelbagai saiz dan keratan tiub straw disyaki dadah jenis heroin seberat 3.88 gram.

"Hasil pemeriksaan lanjut dalam kenderaan yang ditinggalkan oleh suspek di kedai makan Jalan Gangsa itu menemui satu kotak minuman di tempat duduk hadapan sebelah kiri kereta itu yang mengandungi tiga paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi dadah jenis heroin seberat 327.10 gram.

"Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis morfin," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan menerima laporan berhubung penangkapan suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1) ADB 1952 dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 10:03 AM