GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


SUAMI isteri dicekup bersama 13 biji pil kuda dan serbuk putih disyaki dadah dalam serbuan di rumah di Kampung Batu Enam, Kuala Terengganu, hari ini.

Lelaki berusia 42 tahun dan isterinya berusia 39 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu dalam Ops Tapis Narkotik kira-kira 1 pagi.

Menurut sumber, serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan dijalankan pihaknya mengenai aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di kawasan berkenaan.

Katanya, polis yang sampai di rumah berkenaan menuju ke pintu belakang bahagian dapur dan bertindak mengetuk pintu itu beberapa kali sambil memperkenalkan diri sebagai polis.

"Pada mulanya, penghuni yang ada di dalam rumah berkenaan enggan membuka pintu, namun tidak lama kemudian, pintu akhirnya dibuka seorang wanita.

"Polis menjalankan pemeriksaan terhadap wanita terbabit, namun tiada barangan salah ditemui pada badannya dan pada masa sama, polis turut menahan seorang lagi lelaki yang sedang duduk di atas tilam di dalam sebuah bilik berhampiran," katanya.

Sumber berkata, polis juga tidak menemui barangan salah pada badan suspek lelaki sebelum polis menjalankan pemeriksaan lanjut di dalam bilik lain.

Katanya, hasil pemeriksaan, polis menemui satu kotak rokok berwarna merah keemasan berisi satu botol plastik lut sinar bertudung kuning berisi serbuk putih disyaki dadah.

"Polis turut menemui satu beg kecil berzip berisi satu bungkusan plastik mengandungi 13 tiub straw lut sinar dengan setiap straw berisi satu biji pil berwarna merah disyaki dadah yang disembunyikan di atas siling bilik berkenaan," katanya.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Roszita Md Saad membenarkan pasangan itu direman empat hari sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 5:24 PM