Siraj Mohd Zaini


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor mematahkan kegiatan sindiket penyeludupan rokok keretek dan minuman keras bernilai RM495,220 membabitkan duti cukai sebanyak RM2.25 juta dalam tiga kes berasingan pada 17 Disember sehingga 8 Januari lalu.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri T Subromaniam berkata, bagi kes pertama, pihaknya mengesan sebuah lori kontena dalam keadaan mencurigakan keluar dari lorong muatan kosong di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Utara, kira-kira 9.30 malam, 17 Disember lalu.

Menurutnya, pemandu lori kontena berkenaan enggan memberhentikan kenderaannya sehingga memaksa penguat kuasa mengejarnya untuk menjalankan pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan menjumpai 350 kotak bersamaan 28,000 karton rokok keretek dianggarkan bernilai RM470,000 membabitkan duti cukai berjumlah RM2.1 juta.

"Modus operandi sindiket adalah dengan membuat ikrar palsu bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya pada sidang media di Wisma JKDM Selangor, Klang, hari ini.

Bagi kes kedua, Subromaniam berkata, pihaknya menahan sebuah lori yang keluar melalui lorong perdagangan di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang kira-kira 9.30 malam 5 Januari lalu.

Subromaniam (dua kanan) bersama Pengarah Kastam Selangor, Datuk Sarip Ismail (tiga kiri) menunjukkan rokok seludup serta arak yang dirampas dalam tiga kes berbeza dengan nilai duti cukai keseluruhan RM2.25 juta pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam Selangor, Pelabuhan Klang. FOTO Muhammad Sulaiman
Subromaniam (dua kanan) bersama Pengarah Kastam Selangor, Datuk Sarip Ismail (tiga kiri) menunjukkan rokok seludup serta arak yang dirampas dalam tiga kes berbeza dengan nilai duti cukai keseluruhan RM2.25 juta pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam Selangor, Pelabuhan Klang. FOTO Muhammad Sulaiman

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menjumpai satu ruang khas di dalam lori berkenaan dan mengandungi 500 karton minuman keras dianggarkan bernilai RM19,800 serta duti cukai sebanyak RM83,993.

Subromaniam berkata, pihaknya turut berjaya membanteras sindiket penjualan minuman keras atas talian yang belum lulus pemeriksaan kastam pada 8 Januari lalu.

"Pada kira-kira 9 malam, sebuah kenderaan yang dinaiki pasangan suami isteri ditahan berhampiran pusat beli-belah di Bukit Tinggi, Klang.

"Hasil pemeriksaan menjumpai satu kotak dan dua drum minuman keras yang belum lulus kastam." katanya.

Susulan itu, JKDM menyerbu sebuah rumah di Klang dan menjumpai 32 kotak minuman keras yang masih belum lulus pemeriksaan kastam bernilai RM5,020 membabitkan duti cukai sebanyak RM4,031.

Beliau berkata, sindiket dipercayai mengiklankan di Facebook (FB) sebelum menghantarnya secara pos atau berjumpa di lokasi tertentu.

Ketiga-tiga kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e), Seksyen 135(1)(g), Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 4:13 PM