Subromaniam (tengah) menunjukkan rokok dan ‘chewing tobacco’ yang dirampas pihaknya. FOTO Roslin Mat Tahir
Subromaniam (tengah) menunjukkan rokok dan ‘chewing tobacco’ yang dirampas pihaknya. FOTO Roslin Mat Tahir
Siraj Mohd Zaini


MISTERI sebuah kontena yang diisytihar mengandungi sarung tangan, aksesori telefon pintar dan set memasak terbongkar selepas pemeriksaan penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menemui rokok putih dengan nilai termasuk cukai RM7.2 juta di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, 4 Januari lalu.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri T Subromaniam berkata, dalam pemeriksaan pada jam 12.45 tengah hari itu, lelaki tempatan berusia 35 tahun dipercayai bekerja sebagai ejen penghantaran kontena itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, sindiket dipercayai membuat pengikraran palsu pada Borang Kastam (import) bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kuantiti rokok yang dirampas dianggarkan 9.7 juta batang dengan nilai dianggarkan RM776,000 dan jumlah cukai RM6.4 juta.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g)(v) Akta Kastam 1967(Akta 235) serta Seksyen 74(1)(c)(iv)(A) Akta Eksais 1967 (Akta 176),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma JKDM Selangor di Pelabuhan Klang hari ini.

Dalam kes berasingan, Subromaniam berkata, sindiket penyeludupan ‘chewing tobacco’ yang aktif dalam kalangan warga asing di sekitar Lembah Klang berjaya ditumpaskan pihaknya 2 Januari lalu.

Beliau berkata, sepasukan penguat kuasa JKDM menyerbu sebuah premis di Meru, Klang, pada jam 4 petang dan menemui 7.5 tan ‘chewing tobacco’ yang dipercayai belum lulus kastam.

“Anggaran nilai rampasan ‘chewing tobacco’ itu adalah RM387,355 dan jumlah cukai RM435,845.

“Empat warga asing dari India dan Pakistan berusia 21 hingga 36 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Subromaniam berkata, modus operandi sindiket adalah dengan membawa masuk ‘chewing tobacco’ dari luar negara dan membuat pengikraran palsu pada borang kastam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d)(iii) Akta Kastam 1967(Akta 235) dan Seksyen 74(1)(a)(i)(A) Akta Eksais 1967 (Akta 176),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 5:25 PM