PEGAWAI melakukan pemeriksaan di sebuah kilang padi. FOTO Ihsan KPKM.
PEGAWAI melakukan pemeriksaan di sebuah kilang padi. FOTO Ihsan KPKM.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kurang berat sehingga 220 kilogram. Itu yang berlaku kepada petani di Kedah selepas pelesen yang membeli padi dikesan menggunakan alat penimbang yang tidak tepat.

Pemeriksaan oleh Bahagian Kawalselia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini, mendapati keadaan itu menyebabkan kerugian kepada petani kerana ia tidak mengikut had selisih yang dibenarkan.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Datuk Azman Mahmood berkata, dalam pemeriksaan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), alat penimbang berkenaan didapati tidak mengikut peraturan

pelesenan membeli padi, Akta 522 Kawalan Padi dan Beras 1994 dan juga Akta

Timbang dan Sukat 1972.

Katanya, hasil ujian di sebuah premis, terdapat pengurangan timbangan dari alat timbang

yang digunakan iaitu 10,000 kilogram (kg) bagi berat alat ujian namun indikator menunjukkan sebaliknya.

"Pemeriksaan anggota kita mendapati alat timbangan hanya menunjukkan berat 9,780 kg saja, pengurangan sehingga 220 kg.

"Itu satu jumlah yang besar dan merugikan petani yang menjual hasil mereka. Dengan kata lain, petani yang menjual padi di premis berkenaan akan mengalami

pengurangan hasil sebanyak 22 kg bagi setiap satu metrik tan yang ditimbang," katanya.

Terdahulu tular di media sosial mengenai kejadian kesilapan timbangan yang dikatakan berlaku di utara tanah air.

Dalam perkongsian di Facebook, seorang lelaki meminta pihak berkuasa mengambil tindakan kepada pelesen yang dikatakan tidak menimbang dengan tepat sehingga merugikan petani.

Azman berkata, pelesen berkenaan sudah diambil tindakan dan KPDN mengambil tindakan dengan menyita alat timbang berkenaan di bawah Seksyen 16, Akta Timbang dan Sukat

1972.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan pemeriksaan di semua premis seluruh negara bagi memastikan tiada sebarang bentuk manipulasi timbangan atau kerosakan alat penimbang yang akan menjejaskan pendapatan petani.

Katanya, beliau juga menasihati petani agar segera menghubungi Bahagian Kawalselia negeri masing-masing sekiranya mendapati ada situasi meragukan di mana-mana premis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 8:11 PM