MOHD Razi dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
MOHD Razi dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seorang penolong pegawai veterinar di Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Johor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tiga pertuduhan menerima wang RM3,500 daripada seorang pengurus syarikat kontraktor pembekalan dalam tempoh November 2013 hingga Oktober 2014.

Tertuduh, Mohd Razi Basar, 41, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Mohd Razi yang juga Ketua Unit Ruminan didakwa menerima wang sebanyak RM3,500 dalam akaun bank miliknya tanpa sebarang balasan daripada Mohamad Zakariah Mohamad.

Tertuduh didakwa tahu perbuatannya itu ada kaitan dengan tugas rasminya sebagai pegawai yang bertanggungjawab memberi kerja membekal dan menghantar bahan binaan kandang kambing berjumlah RM9,849.90 kepada JPV serta membekal, menghantar bahan binaan kandang lembu berjumlah RM9,978.40, membekal dan menghantar pagar cyclone berjumlah RM9,996 kepada JPV.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Wong Ah Fook di sini, pada 21 November 2013, 12 Mei 2014 dan 10 Oktober 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsyarina Raizan menawarkan jaminan RM15,000 sebelum dibantah peguam bela Mohd Razi, Tan Song Yan.

Tan memohon jumlah itu dikurangkan atau menggunakan ikat jamin sama memandangkan anak guamnya pernah dituduh bagi empat lagi pertuduhan rasuah di mahkamah sama.

“Tertuduh mempunyai tanggungan isteri yang tidak bekerja dan tiga anak yang mana dua daripadanya masih bersekolah.

“Anak guam saya menghadapi satu lagi kes di mahkamah ini yang akan memulakan perbicaraan minggu depan. Sejak disiasat SPRM, tertuduh memberi kerjasama dalam kedua-dua kes ini,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 10:21 AM