Zatul Iffah Zolkiply


PENGURUS besar hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas tuduhan membuat tuntutan palsu berkaitan perkhidmatan sewaan bas.

Tertuduh, Mazuki Husin, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan Pengurus Jualan dan Pemasaran hotel sama, Tina Surinda Abdul Karim resit bertarikh 27 September 2014 sebagai dokumen berkaitan perkhidmatan sewaan bas bernilai RM1,400 sedangkan caj sebenar daripada syarikat bas adalah RM650.

TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Syafiq Ambak
TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Syafiq Ambak

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hotel di daerah ini pada 28 September 2014

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 21 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Zul Basysyar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 2:11 PM