MUHD Amirul (kanan) dan Muhammad Afif pada hari pertama persekolahan. FOTO Sharul Hafiz Zam
MUHD Amirul (kanan) dan Muhammad Afif pada hari pertama persekolahan. FOTO Sharul Hafiz Zam
Nor Farhani Che Ad


WALAUPUN bertubuh kecil berbanding rakan sebaya yang lain, semangat yang ditunjukkan dua murid dari Sekolah Kebangsaan Seri Pinang, Sungai Petani, tetap sama dalam memulakan sesi persekolahan baru hari ini.

Muhammad Afif Qusyairi Abdullah, 12, yang mempunyai ketinggian kira-kira 110 sentimeter dengan berat 18 kilogram, berkata, dia begitu teruja dapat mengikuti kelas semula memandangkan dia juga akan mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

"Saya gembira dapat kembali ke sekolah dan bertemu dengan rakan-rakan yang lain.

"Tahun ini saya rasa lebih bersemangat dan mahu belajar dengan lebih gigih supaya dapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR nanti," katanya.

Katanya, biarpun sudah lama bersekolah di situ, dia tidak pernah disisihkan mahupun diejek rakan-rakannya berikutan mempunyai fizikal yang kecil.

Dalam pada itu, Muhd Amirul Azim, 10, yang juga mempunyai saiz badan kecil dengan ketinggian 100 sentimeter dan berat 15 kilogram turut bersemangat memulakan sesi persekolahan baru.

Murid tahun empat itu mengalami masalah tumbesaran disebabkan masalah kerosakan buah pinggang yang dihadapinya sejak bayi.

Katanya, walaupun mengalami masalah kesihatan, dia sedikitpun tidak menjadikan alasan untuk tidak hadir ke sekolah.

"Waktu cuti sekolah lagi saya sudah tidak sabar untuk berjumpa rakan dan guru.

"Sepanjang bersekolah di sini, saya tidak menghadapi kesukaran kerana sering dibantu rakan yang lain terutama ketika membawa barang," katanya.

MUHD Amirul (depan, dua kanan) beratur pada perhimpunan hari pertama persekolahan. FOTO Sharul Hafiz Zam
MUHD Amirul (depan, dua kanan) beratur pada perhimpunan hari pertama persekolahan. FOTO Sharul Hafiz Zam

Dalam pada itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Shikiman Mansor Idris, berkata, pihak sekolah sentiasa membantu memberi kemudahan kepada murid berkenaan dengan memberi kedudukan di kelas di barisan hadapan.

Katanya, bagi murid yang mempunyai masalah kesihatan, pihak sekolah juga akan meletakkan mereka di dalam kelas yang berada di bawah ataupun di tingkat satu bangunan.

Sementara itu, Shikiman berkata, 1,110 murid mendaftar di sekolah berkenaan bagi sesi persekolahan 2018.

Seramai 520 murid adalah bagi sesi pagi membabitkan murid pra sekolah, tahun empat, lima dan enam manakala 590 murid bagi sesi petang termasuk 170 murid tahun satu dan selebihnya murid tahun dua dan tiga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 2:45 PM