Ahmad Ismail


MESKIPUN tiada murid tahun satu mendaftar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Central Site, Batu Anam, Segamat, namun keadaan itu tidak sedikit pun menjejaskan semangat enam guru dan 14 muridnya untuk meneruskan penggal baru persekolahan, esok.

Guru Besarnya, Tan Lee Yan berkata, bagi sesi persekolahan 2018 ini, tiada ibu bapa mendaftar anak mereka ke tahun satu di sekolah yang ditubuhkan sejak 1966 itu.

Katanya, kini terdapat seramai 14 murid meneruskan pembelajaran di sekolah berkenaan terdiri daripada sembilan lelaki dan lima perempuan bagi tahun dua hingga tahun lima.

"Selain tiada murid untuk tahun satu, SJKC Central Site juga tidak mempunyai murid bagi tahun enam," katanya ketika ditemui di sesi pendaftaran murid di sekolah berkenaan, hari ini.

Tan berkata, di sebalik tiada murid tahun satu dan enam bagi 2018, namun semangat enam guru yang bertugas di sekolah itu bagi memberikan pendidikan berkualiti tetap tidak terjejas.

"Walaupun SJKC Central Site adalah sekolah kurang murid, namun kami masih mampu mencipta kecemerlangan apabila seorang murid meraih keputusan 6A 1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015," katanya.

Guru Besar SJKC Central Site, Tan Lee Yan memberi taklimat kepada ibu bapa. FOTO Ahmad Ismail
Guru Besar SJKC Central Site, Tan Lee Yan memberi taklimat kepada ibu bapa. FOTO Ahmad Ismail

Menurutnya, antara punca kekurangan murid yang mendaftar di sekolah itu ialah kerana kebanyakan ibu bapa yang bekerja di Ladang Kelapa Sawit Gomali, Batu Anam berpindah ke penempatan lain di sekitar Segamat dan tidak kurang juga yang sudah bersara.

Tan berkata, kelebihan mengajar murid dalam jumlah yang amat sedikit ialah guru dapat mengambil pendekatan tambah nilai idea dengan memberi tumpuan secara bersemuka dengan murid.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Gomali, Santha Kumari Deevaraju berkata, sekolah berkenaan yang berkongsi bangunan dengan SJKC Central Site juga mempunyai murid yang kurang bagi tahun ini.

Katanya, bagi 2018, seramai 10 murid mengikuti sesi pembelajaran membabitkan tahun satu seramai dua murid, tahun dua (tiga murid), tahun tiga (tiga murid) masing seorang murid di tahun empat dan tahun enam

SJKC Central Site dan SJKT Ladang Gomali berkongsi bangunan dan kemudahan. FOTO Ahmad Ismail
SJKC Central Site dan SJKT Ladang Gomali berkongsi bangunan dan kemudahan. FOTO Ahmad Ismail

"Untuk 2018, SJKT Ladang Gomali tiada murid tahun lima namun lapan guru yang bertugas tetap bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan baru seperti tahun sebelumnya," katanya.

Menurutnya, walaupun tergolong sekolah kurang murid, SJKT Ladang Gomali mendapat pengiktirafan atas pengurusan pentadbiran berkualiti dan mencatatkan kelulusan 100 peratus UPSR 2017.

Selain berkongsi bangunan kelas dan pejabat, SJKC Central Site dan SJKT Ladang Gomali turut berkongsi padang permainan, kantin dan dewan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 5:00 PM