Bangunan Istana Kehakiman dihiasi pemetaan cahaya yang memukau. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Bangunan Istana Kehakiman dihiasi pemetaan cahaya yang memukau. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nursyahirah Marzuki


LATAR bangunan Istana Kehakiman di Presint 3, Putrajaya terus menjadi 'hero' utama pada penganjuran kali kelima Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2017 apabila pengunjung dihidangkan dengan persembahan pemetaan cahaya yang memukau.

Persembahan berkenaan berjaya mengubah suasana malam di Dataran Putrajaya bertukar ceria dengan bangunan-bangunan di sekitarnya turut bermandikan cahaya berwarna warni.

Pengunjung yang hadir bukan sahaja terpegun dengan persembahan pemetaan cahaya sebaliknya ia turut diserikan dengan rentak lagu yang mengiringi persembahan berkenaan.

Program tahunan yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) itu mula dibuka kepada pengunjung seawal jam 7.30 malam hingga 12.30 tengah malam bermula malam ini sehingga Ahad dengan menyasarkan satu juta pengunjung.

Presiden PPj Datuk Seri Hasim Ismail berkata, festival edisi kelima itu bertujuanmempromosikan Putrajaya sebagai bandar perintis di Malaysia yang menerapkan elemen pencahayaan bersistematik dan dinamik khususnya dalam aspek penggunaan teknologi pencahayaan yang terkini dan penjimatan tenaga.

"Antara tarikan baru yang diperkenalkan ialah 'The Kindle Garden' di Laman Kiblat Walk yang bertemakan taman fantasi dengan gabungan dua dimensi iaitu Nusantara dan alam maya.

"Selain itu, segmen 'The Levitating Street' dan 'The Street Art' pula menampilkan dekorasi lampu gantung bertema dan lukisan tiga dimensi (3D) di atas lantai manakala, 'The Vibrant Street' pula menghasilkan reka bentuk struktur cahaya unik dan kesan bayang-bayang," katanya ketika ditemui selepas Majlis perasmian LAMPU 2017, malam tadi.

Katanya, pihaknya turut menampilkan komponen 'The Lighting Effect' dimana ia turut menghiasi ruang di sepanjang Persiaran Perdana Presint 2 dan Presint 3, di sini dengan hiasan pelbagai rona lampu.

Hasim berkata, pihaknya juga menyediakan beberapa kemudahan kepada pengunjung termasuk ruangan zon makanan, vendor serta perkhidmatan bas perantaraan secara percuma sepanjang festival berlangsung.

"Malah, pengunjung juga berpeluang menyaksikan pertunjukan bunga api secara langsung dan bunga api digital yang akan dipersembahkan bagi meraikan detik ambang tahun baru 2018 pada Ahad ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 12:16 AM