Rosliza Mohamed dan Ramli Ibrahim

TIGA maut termasuk pelajar dalam dua kemalangan berasingan di Kilometer 7, Jalan Tebing Tinggi, Pasir Puteh dan simpang tiga RKT KESEDAR Sungai Asap B, Gua Musang, hari ini.

Kejadian pertama pada 1 pagi di Pasir Puteh menyebabkan Mohamad Akmal Mohd Hamzah, 14, dan Amirul Mustaqim Mohamed, 16, maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dengan Toyota Innova dipandu lelaki berusia 25 tahun.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pertembungan dipercayai berlaku apabila motosikal Honda Wave ditunggang mangsa dari arah Tok Bali hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Katanya, pada masa sama, Toyota Innova dari arah Pasir Puteh gagal mengelak dan bertembung menyebabkan mangsa parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) itu cedera ringan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk dibedah siasat sebelum diserah kepada keluarga,” katanya.

DOKUMEN tangkapan terhadap Markov. Gambar kanan, Irina.  - Daily Mail
DOKUMEN tangkapan terhadap Markov. Gambar kanan, Irina. - Daily Mail

Lapan jam selepas itu, Ketua Kerani Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) maut selepas motosikal Yamaha LZ ditunggangnya berlanggar dengan Proton Saga di simpang tiga RKT KESEDAR Sungai Asap B, Gua Musang.

Kejadian 9 pagi itu menyebabkan Nordin Ab Rashid, 55, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, mangsa ketika itu dalam perjalanan dari Gua Musang ke tempat kerjanya di Bandar Chiku, sebelum dilanggar Proton Saga dipandu lelaki usia 60-an yang keluar dari simpang.

Beliau berkata, kecederaan serius menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 12:54 PM