Anak mangsa ketika pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Tok Uban, Pasir Mas. FOTO Ihsan Family
Anak mangsa ketika pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Tok Uban, Pasir Mas. FOTO Ihsan Family
Oleh Paya Linda Yahya


Gua Musang: Suri rumah yang parah selepas motosikal dinaiki dirempuh anak lembu di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3, di sini, Rabu lalu, meninggal dunia selepas tiga hari menerima rawatan.

Mangsa Fazleeen Mohd Yusoff, 31, yang parah di kepala disahkan meninggal dunia jam 1.10 pagi hari ini, di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, dalam kemalangan 5 petang itu, mangsa bersama suami, Nik Amdan Mohd Ali, 28, serta dua anak, Nik Nur Irdina Sofia, 7, dan Nik Nur Irdina Arisha, 4, dalam perjalanan menghantar kuih di RKT Paloh 3.

"Sebaik tiba di tempat kejadian seekor anak lembu secara tiba-tiba melintas dan melanggar hadapan motosikal jenis Honda RS 150 R dinaiki empat sekeluarga itu.

"Akibat kemalangan, mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dipindahkan ke HUSM.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di HUSM pada jam 1.10 pagi ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Uban, Pasir Mas, pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 4:45 PM