ANAK kapal Great One Manjung 1 bertungkus lumus menyelamatkan kapten dan anak kapal KLM Berkat Sejati. FOTO Rosli Ilham
ANAK kapal Great One Manjung 1 bertungkus lumus menyelamatkan kapten dan anak kapal KLM Berkat Sejati. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


KAPAL membawa muatan kelapa dari Indonesia karam di perairan Terengganu berhampiran Kuala Merchang, Marang, 7.45 pagi, hari ini.

Lapan anak kapal dan seorang kapten bagaimanapun sempat diselamatkan apabila kapal lain yang dalam pelayaran pulang dari Pelantar Minyak Cakrawala di perairan Kelantan menuju Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB) menyedari insiden berkenaan dan bergegas ke tempat kejadian.

Difahamkan, kapal yang karam itu, KLM Berkat Sejati dalam pelayaran dari Indonesia untuk menghantar bekalan kelapa di Takbai, Narathiwat, Thailand.

Kapal terbabit yang dikemudi oleh Mara Sofyan Dali Munthe turut dinaiki lapan anak kapal iaitu Abdul Hakim, Jumadil, Candra Gunawan, Kristoper Manurung, Muhammad Gustaf Fauzan Hamsith, Overianus Waruwu, Badri Matondang dan Herry Septiawan.

Ketika tiba di tempat kejadian, kapal berkenaan dikatakan mengalami kebocoran yang menyebabkan air memasuki ruang dalam sebelum kapten kapal meminta bantuan kecemasan daripada Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya, pada 8.25 pagi.

Secara kebetulan, kapal penghantar bekalan, Great One Manjung 1 berada pada jarak tujuh batu nautika dari lokasi kejadian dan terus menuju ke tempat berkenaan sebaik mendapat maklumat.

Seramai 14 anak kapal terbabit kemudian segera menghulurkan bantuan bagi menyelamatkan semua mangsa apabila tiba pada 8.30 pagi.

Tindakan pantas anak kapal Great One Manjung 1 itu berjaya menyelamatkan sembilan mangsa terbabit dalam tempoh lima minit sebelum kapal muatan kelapa yang mereka naiki itu tenggelam ke dasar laut.

Sementara itu, Pengarah Pengkalan Maritim Kemaman, Leftenen Komander Mohamad Rezal Kamal Bashah berkata, semua anak kapal terbabit selamat tiba KSB, kira-kira 7 malam tadi.

"Semua anak kapal terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk tindakan lanjut," katanya hari ini.

Kejadian ini adalah yang kedua berlaku bulan ini.

Pada 4 November lalu, kapal membawa muatan kelapa dari Riau, Indonesia, karam di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus.

Tujuh anak kapal warga Indonesia bertarung nyawa apabila kapal muatan kelapa dinaiki bocor dan dimasuki air sebelum hancur dipukul ombak lalu bertembung batu pemecah ombak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 10:39 PM