IHSAN APMM
IHSAN APMM
Hamzah Osman


KAPAL layar yang digunakan untuk aktiviti melihat matahari terbenam ditahan kerana disyaki beroperasi secara haram di 0.3 Batu Nautika dari Pulau Singa Besar, Langkawi.

Kapal milik pengusaha pelancongan tempatan itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), pada 6.16 petang, Jumaat lalu.

Kapal dikemudi kapten warga Indonesia berusia 42 tahun dan tiga anak kapal tempatan berusia 17 hingga 29 tahun itu didapati membawa 22 penumpang ketika ditahan.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim 1 Langkawi, Komander Maritim Nurulazme Zakariah, berkata hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kapal itu tidak membawa sebarang dokumen.

Katanya, kapten juga gagal mengemukakan maklumat pelayaran membabitkan senarai nama penumpang dan nama anak kapal.

Menurutnya, mereka mengenakan bayaran RM280 seorang bagi aktiviti berkenaan.

“€œKami sudah melakukan risikan selama dua minggu mengenai aktiviti Sunset Cruise yang beroperasi secara haram di sekitar Langkawi.

“Antara kesalahan dikesan ketika pemeriksaan awal mendapati kapal itu membawa penumpang melebihi had.

“Kapal itu dibenarkan membawa 12 orang saja sebaliknya mereka membawa 22 orang," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengenal pasti terdapat tiga lagi kesalahan dilakukan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

"Kegiatan seperti ini boleh merosakkan imej baik industri pelancongan laut di Langkawi.

“Kesemua anak kapal itu ditahan untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurunya, APPM juga sentiasa membuat rondaan dan pemantauan di sempadan serta perairan negara dari semasa ke semasa.

“Jika berlaku sebarang kejadian di laut boleh menghubungi terus talian MERS 999 atau 04-9662750 (Bilik Operasi Daerah Maritim 1 Langkawi)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 7:54 PM