Anggota penguat kuasa yang terbabit dalam operasi SAR mencari enam anak kapal MT Putri Sea yang hilang. FOTO  ihsan APMM
Anggota penguat kuasa yang terbabit dalam operasi SAR mencari enam anak kapal MT Putri Sea yang hilang. FOTO ihsan APMM
Mohd Sabran Md Sani


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Maritim Selatan (WILSEL) melalui Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bahru masih mengkoordinasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam anak kapal MT Putri Sea yang masih hilang sehingga kini.

Timbalan Pengarah Operasi WILSEL, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, operasi yang diteruskan hari ini membabitkan aset dari pelbagai agensi antaranya Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin, Jabatan Laut Malaysia dan Johor Port.

"Operasi ini membabitkan tujuh aset dengan kekuatan seramai kira-kira 50 orang.

"Operasi membabitkan kawasan perairan Tanjung Stapa hingga perairan Teluk Ramunia dengan keluasan kira-kira 35 batu nautika persegi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi dilakukan turut membabitkan kerja mengawal tumpahan minyak serta meletakkan tanda di lokasi dipercayai kapal itu karam.

Dalam kejadian itu, enam anak kapal warga Indonesia dipercayai hilang selepas kapal membawa muatan minyak mentah MT Putri Sea terbakar dan karam di barat daya Tanjung Pengelih Pengerang pagi semalam.

APMM menerima maklumat daripada Singapore Police Coast Guard (SPCG) mengenai kejadian berkenaan selepas ia gagal dihubungi oleh ejen kapal.

Kapal MT Puteri Sea dipercayai membawa muatan minyak mentah dan didaftarkan di Pelabuhan Malabo, Equatorial Guiniea.

Kapal itu membawa enam anak kapal berusia antara 28 hingga 39 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 6:18 PM