PERSEMBAHAN Upin Ipin pada Karnival Upin Ipin di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang. FOTO Aizuddin Saad
PERSEMBAHAN Upin Ipin pada Karnival Upin Ipin di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang. FOTO Aizuddin Saad
Syazwan Msar


SIRI kartun popular Upin dan Ipin sudah menembusi ratusan negara di seluruh dunia dengan hampir keseluruhan Asia melanggani produk duta Malaysia berkenaan yang memiliki daya tarikan tersendiri.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, karakter Upin dan Ipin diminati semua peringkat umur malah sudah dialih bahasa di beberapa negara tertentu.

Beliau berkata, bagi merancakkan lagi siri kartun berkenaan, karnival Upin dan Ipin akan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negara seterusnya dapat menarik minat lebih ramai pelancong luar datang terutama dari Singapura, Thailand dan Indonesia.

“Karnival Upin dan Ipin yang memasuki tahun ketiga akan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negara bermula tahun hadapan kerana berpotensi menarik lebih ramai pelancong.

“Selain itu, kementerian juga bersedia mengeluarkan peruntukan untuk menjayakan karnival berkenaan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Karnival Upin dan Ipin, di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Rashidi Hasbullah dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd (LCP) Burhanuddin Md Zin.

Karnival Upin dan Ipin yang berlangsung tiga hari bermula semalam dibuka kepada pengunjung bermula 10 pagi hingga 10 malam dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung termasuk sukan elektronik, tayangan filem dan gerai jualan.

Sementara itu, Burhanuddin berkata, siri animasi berkenaan bakal menemui peminatnya di India dalam masa terdekat ini selepas pihaknya menandatangani perjanjian bersama Disney India.

“Jika perkara berkenaan berjaya dilaksanakan termasuk perjanjian bersama wakil dari China sebelum ini, bermakna watak popular itu akan ditonton oleh satu per empat penduduk dunia,” katanya.

Selain itu, beliau juga berkata, siri berkenaan turut menarik minat beberapa pelabur dari Asia Timur yang ingin membelinya namun setakat ini pihaknya belum berminat untuk menjual duta Malaysia itu.

“Ada antara pelabur menawarkan harga yang cukup rendah untuk siri kartun berkenaan namun kami tidak akan menjualnya kerana ia cukup dekat di hati rakyat Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 8:30 PM