Syazwan Msar

Serdang: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mahu segera penguatkuasaan undang-undang terhadap pemilik hotel yang melarang barisan hadapan memakai tudung bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum di negara ini terpelihara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, setakat ini tiada akta yang lebih terperinci untuk mengambil tindakan terhadap pemilik hotel yang melakukan perkara terbabit.

Beliau berkata, campur tangan agensi lain juga perlu terutama membabitkan kementerian lain dan pihak berkuasa tempatan dalam menangani isu berkenaan sebelum timbulnya masalah lain.

“Cuma sebelum ini kita hanya boleh mengambil tindakan menerusi akta tertentu saja contohnya membabitkan pekerjaan mesti mengikut akta pekerjaan, jadi belum ada untuk kesalahan larangan pemakaian tudung setakat ini.

“Kesalahan yang dilakukan pemilik hotel jelas sekali melanggar hak asasi Perlembagaan apabila orang melakukan kesalahan itu tidak boleh diambil tindakan melainkan jika ada undang-undang itu,” katanya pada Majlis Perasmian Karnival Upin dan Ipin, di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Rashidi Hasbullah dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd (LCP) Burhanuddin Md Zin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu larangan bertudung barisan hadapan di beberapa hotel di negara ini.

Baru-baru ini Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontline).

Isu ini tercetus apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan kakitangan hotel mengadu pekerja wanita Islam diarahkan menanggalkan tudung mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 7:15 AM