lelaki yang mencuri barangan kemas di kedai emas di Simpang Renggam, Johor, semalam. FOTO ihsan PDRM
lelaki yang mencuri barangan kemas di kedai emas di Simpang Renggam, Johor, semalam. FOTO ihsan PDRM
Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS Daerah Kluang memburu lelaki dianggarkan berusia 30-an yang mencuri barang kemas di kedai emas di Simpang Renggam, Johor, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, dalam kejadian kira-kira 3.20 petang, seorang jurujual wanita bersama rakannya berada dalam kedai emas itu sebelum didatangi suspek menyamar sebagai pembeli.

"Suspek mengatakan mahu mengambil gambar barang kemas itu dan apabila mangsa mengeluarkan barang kemas berkenaan, suspek terus merampas dan lari keluar dari kedai.

"Suspek melarikan diri bersama seorang lagi suspek yang menunggu di atas sebuah motosikal.

"Mangsa kerugian dua rantai tangan emas, dua rantai leher emas dan sebentuk cincin yang semuanya dianggarkan bernilai RM30,000," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek berkenaan memakai baju berwarna kelabu gelap dan berkolar, berkulit putih dengan ketinggian kira-kira 177 sentimeter.

Katanya, suspek memakai seluar jeans berwarna biru dan membawa beg pinggang berwarna hitam dengan tulisan 'apache star'.

"Suspek menaiki sebuah motosikal Honda berwarna hitam, namun nombor pendaftarannya tidak pasti," katanya.

Mohamad Laham berkata, usaha mengesan dan menangkap suspek masih giat dijalankan dan pihaknya meminta orang awam yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan maklumat kepada polis ditalian 07-7784222 atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Che Mohd Nor Hisham Amri Che Amat ditalian 017-6500878.

"Kita juga meminta pemilik kedai emas supaya lebih berhati-hati apabila didatangi pelanggan yang mahu melihat atau membeli barang kemas terutamanya pelanggan lelaki berusia dalam lingkungan 20-an.

"Berhati-hati juga dengan pelanggan atau suspek yang berpura-pura ingin membeli emas dan meminta untuk membelek emas itu, tetapi apabila ada peluang, mereka akan melarikan emas berkenaan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 5:59 PM