POLIS merampas semula dua utas gelang dan motosikal yang dirampas daripada dua wanita termasuk seorang yang sedang hamil. FOTO ihsan PDRM PERLIS
POLIS merampas semula dua utas gelang dan motosikal yang dirampas daripada dua wanita termasuk seorang yang sedang hamil. FOTO ihsan PDRM PERLIS
Aizat Sharif


Arau: Dua wanita termasuk seorang yang sarat hamil sembilan bulan ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian melarikan gelang tangan di sebuah kedai emas di sini, semalam.

Suspek berasal dari Beseri, Padang Besar berusia 29 tahun dan bekerja sebagai peniaga itu ditahan kurang daripada 24 jam selepas kejadian curi itu berlaku bersama rakannya berusia 36 tahun dari Simpang Empat, Kangar yang bertugas sebagai pembantu kantin.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 4.20 petang apabila jurujual kedai emas berkenaan yang berusia 25 tahun didatangi seorang wanita yang ingin membeli barang kemas di kedai itu.

"Polis menerima laporan daripada jurujual di sebuah kedai emas di Arau yang memaklumkan bahawa premisnya didatangi seorang wanita yang ingin membeli barang kemas.

"Suspek yang berpura-pura menjadi pelanggan kemudian meminta untuk melihat dua utas gelang tangan emas yang dipamerkan di meja pameran dan mangsa kemudian mengambil barang kemas untuk ditunjukkan kepada suspek.

"Lebih kurang 10 minit, suspek kelihatan membelek gelang tangan itu, sebelum bertindak mengambil barang kemas itu dan melarikan diri dengan membonceng sebuah motosikal yang ditunggangi seorang lagi wanita yang sedang menunggu suspek di hadapan kedai emas berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, susulan kejadian itu satu laporan polis dibuat di Balai Polis Arau semalam oleh pemilik kedai emas itu dengan kerugian dianggarkan bernilai RM45,000.

"Tangkapan dibuat tidak lama selepas itu ke atas dua wanita bersama barang kemas yang dilarikan itu dan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Arau Perlis untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, selain dua utas gelang tangan berwarna kuning keemasan, pihaknya turut merampas sebuah motosikal dan pakaian yang digunakan suspek dalam kejadian itu.

Suspek direman sehingga Sabtu ini untuk bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 4:03 PM