LAKARAN fotofit seorang daripada suspek kes samun. FOTO ihsan polis.
LAKARAN fotofit seorang daripada suspek kes samun. FOTO ihsan polis.
Noor Hidayah Tanzizi


Bagan Datuk: Pengusaha kedai runcit berdepan detik cemas apabila lehernya dicekik dan diacukan parang dalam kejadian samun di Jalan Kampung Seri Perkasa, Hutan Melintang di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian pada 7.30 pagi itu, mangsa iaitu lelaki berusia 23 tahun didatangi dua lelaki tidak dikenali berusia 30-an ketika berada di premisnya yang bersambung dengan rumah.

Kedua-dua suspek menaiki motosikal SYM berwarna biru.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, seorang suspek mencekik leher dan mengacukan parang ke leher mangsa serta memberi amaran supaya lelaki itu tidak berbuat bising.

Menurutnya, tangan mangsa turut diikat dengan pita pelekat sebelum kedua-dua suspek mengarahkan mangsa masuk ke dalam rumah yang bersambung di belakang kedai runcit itu.

"Mereka kemudiannya masuk ke dalam bilik bapa saudara mangsa berusia 53 tahun dan menutup muka lelaki itu dengan selimut dan turut mengarahkannya mendiamkan diri serta mengikat tangannya dengan pita pelekat.

"Suspek menggeledah laci almari dalam bilik bapa saudara mangsa dan mengambil barang kemas sebelum ke bilik adik mangsa dan mengancamnya dengan parang.

"Adik mangsa menjerit dengan kuat menyebabkan kedua-dua suspek terkejut dan melarikan diri dari rumah kedai itu menggunakan motosikal mereka," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Ahmad Adnan berkata, ketiga-tiga mangsa tidak cedera, namun barang kemas bapa saudara mangsa yang membantu lelaki itu berniaga di kedai runcit dilarikan suspek.

Beliau berkata, suspek melarikan dua utas rantai dan sebentuk cincin emas serta wang tunai RM1,000 hasil jualan kedai runcit di peti simpanan dalam kedai.

"Kerugian dianggarkan RM19,000 dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Raden Mohd Azlan Raden Perhan di talian 013-8454541.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 12:52 AM