GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhammad Mustakim Ramli


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis bersiap sedia menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir selepas banjir kilat melanda negeri ini September lalu.

Timbalan Pengarahnya, Mohd Farid Ishak, berkata, pihaknya sentiasa bersedia sepanjang tahun dari segi kekuatan keanggotaan dan kelengkapan untuk digerakkan pada bila-bila masa menghadapi bencana alam atau kemalangan.

“Di Perlis kita mempunyai 350 anggota aktif dan kita mampu menarik lebih 700 anggota dalam satu-satu masa apabila berlaku kecemasan.

“Contohnya seperti banjir yang melanda negeri ini dua bulan yang lalu, di mana lebih 500 anggota APM terbabit dalam menjalankan kerja menyelamat.

“Malah 150 anggota kita sekarang ini turut berada di Pulau Pinang bagi kerja membantu dan menyelamat susulan banjir yang melanda negeri berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengulas ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai kemungkinan penduduk sekitar Utara Semenanjung berdepan gelombang kedua banjir susulan pertukaran monsun yang belum berakhir.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan sepanjang tempoh seminggu mulai semalam, Perlis mengalami ribut petir pada sebelah petang sehingga esok, manakala hujan lebat pada pagi dan malam sehingga Selasa depan.

Mengulas lanjut persediaan menghadapi banjir, Farid berkata, semua aset dan kelengkapan APM Perlis berada dalam keadaan baik.

“Kita mempunyai 12 bot, tiga lori, lima pancuan empat roda dan lima ambulans yang boleh digunakan bila-bila masa.

“Selain itu, kita juga aktif memberi latihan kepada orang awam, di mana setiap tahun hampir 5,000 orang awam diberi pendedahan bagaimana berhadapan dengan situasi kecemasan seperti banjir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 12:50 PM