Timbalan Pengarah APM Kedah, Mejar (PA) Imran Azemi Imran Azemi.
Timbalan Pengarah APM Kedah, Mejar (PA) Imran Azemi Imran Azemi.
BERNAMA

ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah mengenal pasti beberapa kawasan dijangka dilanda ribut dan hujan lebat berikutan peralihan Monsun Timur Laut kepada Monsun Barat Daya, ketika ini.

Timbalan Pengarahnya Mejar (PA) Imran Azemi berkata, jika cuaca buruk itu melanda negeri ini, beberapa kawasan di Baling, Bandar Baharu, Kulim dan Kubang Pasu antara yang terdedah kepada kemungkinan banjir.

"Kita sentiasa bersedia daripada aspek kekuatan keanggotaan, kelengkapan dan aset untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi menghadapi bencana alam termasuk banjir.

"Kebiasaannya, banjir yang berlaku akibat peralihan monsun ini tidak lama antara sehari atau dua hari sahaja di mana semua agensi yang terbabit sudah bersedia dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan penularan Covid-19. "Pusat pemindahan sementara (PPS) juga bersedia sekiranya perlu menerima mangsa yang terjejas akibat banjir," katanya pada sidang media di Alor Setar, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon dilaporkan berkata, fasa peralihan cuaca itu yang bermula Mac lalu dijangka berakhir pada minggu ketiga bulan ini.

Dalam pada itu, Imran berkata, seramai 300 anggota APM ditempatkan di beberapa kawasan di seluruh negeri bagi penugasan rondaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Setiap daerah yang mempunyai pejabat operasi APM akan membuat penugasan rondaan di kawasan tumpuan ramai bagi mengekang sebarang aktiviti tidak dibenarkan selain memastikan masyarakat mematuhi semua SOP bagi mengekang penularan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 4:57 PM