ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membuat persediaan bagi menghadapi fenomena air pasang besar. FOTO Rahmat Othman
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membuat persediaan bagi menghadapi fenomena air pasang besar. FOTO Rahmat Othman
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah kini bersiap sedia dengan 100 aset dan kelengkapan untuk menghadapi gelombang air pasang besar ketiga yang diramalkan berlaku pada bila-bila masa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Nazri Zakaria berkata, bilik gerakan banjir di Pusat Gerakan Operasi (PGO) masih dibuka sepenuhnya untuk memantau keadaan semasa mengenai gelombang itu.

Katanya, antara kawasan yang diberi tumpuan sepenuhnya adalah di pesisir laut seperti Kuala Muda, Kuala Kedah dan Langkawi.

"Sehubungan itu penduduk yang tinggal di kawasan pantai perlu bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan gelombang air pasang ini kerana ia berlaku tidak dijangka dan perlu berpindah sekiranya paras air membimbangkan.

"Setakat ini 600 daripada 750 anggota kita di negeri ini bersiap sedia dan hanya 20 peratus dibenarkan bercuti sebagai langkah berjaga-jaga untuk menghadapi fenomena ini," katanya.

Katanya, 49 bot, 12 lori tiga tan dan lima tan serta kenderaan pacuan empat roda turut bersedia untuk digunakan bagi menghadapi gelombang air pasang berkenaan.

"Anggota Unit Bermotor Bomba (RIM) dan jentera turut melakukan rondaan di kawasan pesisir pantai setiap hari untuk memastikan keadaan paras air dalam keadaan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 6:01 PM