KEADAAN kemalangan yang mengorbankan nyawa suami isteri di Changlun.
KEADAAN kemalangan yang mengorbankan nyawa suami isteri di Changlun.
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: “Saya rasa tak sedap hati melihat kenderaan bergerak perlahan di kedua-dua hala dan kebanyakan pemandu memberhentikan kenderaan sebelum ternampak ada kemalangan berlaku di Kilometer 12.6, Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Jitra.

“Saya yang menunggang motosikal dari rumah di Taman Teja, Changlun ke tempat kerja berada selang lima kenderaan di belakang lalu berhenti melihat keadaan mangsa yang bergelimpangan di atas jalan,” kata saksi kejadian Mohd Nizam Abdul Hamid, 54.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi semalam, mangsa, Nordin Othman, 71, dan isterinya, Hasnah Ahmad, 54, maut selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta Nissan Latio dipandu penjawat awam, Ahmad Fakhri Abdullah, 54, ketika mengubah haluan ke kanan untuk membuat pusingan U di tempat kejadian.

Mohd Nizam yang bertugas sebagai pembantu perubatan di Hospital Jitra (HJ) berkata, dia cuba memeriksa keadaan kedua-dua mangsa dan mendapati tiada denyutan nadi selain pernafasan mereka terhenti sebelum disahkan meninggal dunia.

“Tidak berapa lama seorang lelaki datang memberitahu mangsa adalah ibu bapanya dan ketika itu saya sayu melihatnya,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini, semalam.

Mohd Nizam berkata, pasangan itu memakai topi keledar dan terpelanting dalam jarak lebih 20 meter antara satu sama lain dan motosikal pula rosak teruk.

Pasangan terbabit menetap di Kampung Belukar Changlun, di sini dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian tengkuk.

Sebelum kejadian, mereka dikatakan dalam perjalanan ke kebun getah lima kilometer dari rumah mereka untuk projek penanaman semula getah.

Sementara itu, anak mereka, Mohd Hilmi, 36, berkata, dia hanya mengetahui berita kemalangan membabitkan ibu tiri dan bapanya pada jam 7.26 pagi selepas dimaklumkan rakannya yang melalui tempat kejadian.

Katanya, dia yang menetap di Taman Teja, Changlun bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mayat mangsa sudah ditutup dengan plastik hitam.

“Saya sedih sebaik membuka plastik melihat keadaan ayah dan ibu.

“Kali terakhir saya jumpa mereka kelmarin (Sabtu) ketika kenduri di Guar Chempedak,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jitra (HJ), semalam.

Adik ipar arwah, Suhaimi Azmi, 51, berkata, kali terakhir bertemu dengan abang iparnya ketika menonton perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kedah dengan Johor Darul Ta’zim di rumahnya di Kampung Belukar.

Jenazah pasangan itu kemudian dihantar ke HJ untuk dibedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Belukar petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu Ahmad Fakhri menghala ke Alor Setar dan tiba-tiba motosikal dinaiki pasangan itu mengubah haluan dari kiri ke kanan untuk membuat pusingan U.

Beliau berkata, pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal itu menyebabkan pasangan itu terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 4:53 AM