BOMBA memadam kebakaran membabitkan sebuah motosikal di hadapan stesen minyak di Changlun. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA memadam kebakaran membabitkan sebuah motosikal di hadapan stesen minyak di Changlun. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Identiti penunggang motosikal yang rentung selepas motosikal yang ditunggang terbakar dalam kemalangan dengan sebuah lori di hadapan sebuah stesen minyak di Changlun, semalam, masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, mangsa parah di bahagian kepala dan badan serta terbakar pada bahagian kaki kiri dan kanan, meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk proses bedah siasat.

"Hasil siasatan awal, kemalangan itu apabila treler terbabit dipandu dari arah Bukit Kayu Hitam menghala ke Jitra.

"Sebaik tiba di hadapan sebuah stesen minyak di Changlun, treler itu bergerak terus di lorong kiri, namun secara tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa keluar dari simpang stesen minyak berkenaan, membelok ke kiri dengan menyelit di sebelah kiri treler menyebabkan berlaku perlanggaran di antara treler dan motosikal terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rodzi berkata, mangsa dipercayai terjatuh sebelum motosikalnya terbakar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, pemandu treler berusia 39 tahun itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pengecaman identiti mangsa akan dilakukan berdasarkan padanan rekod gigi atau cap jari selain sampel darah oleh pihak forensik," katanya.

Media semalam melaporkan, seorang penunggang motosikal rentung selepas motosikal yang ditungganginya terbakar dalam kemalangan dengan sebuah lori di hadapan sebuah stesen minyak di Changlun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 8:36 AM