PENDUDUK berpeluang tambah pendapatan setiap kali tiba musim duku.
PENDUDUK berpeluang tambah pendapatan setiap kali tiba musim duku.
HM Digital

Setiap kali tiba musim duku di Terengganu, nama Kampung Beladau Selat pasti menjadi sebutan. Mana tidaknya, kampung berkenaan antara yang paling terkenal kerana duku di situ mempunyai rasa manis.

Tidak hairanlah terdapat lebih 10 ladang dan kebun buah tempatan itu di kampung berkenaan sejak puluhan tahun lalu.

Malah boleh dikatakan, paling kurang satu keluarga pasti memiliki satu atau dua pokok duku dan lebihan daripada hasil yang dimakan akan dijual kepada empat pemborong duku di kampung itu.

Ibrahim Abdullah, 35, berkata, setiap kali musim duku, dia dan penduduk kampung yang memiliki kebun duku berpeluang meraih pendapatan lebih hasil menjual buah berkenaan.

“Paling tidak, 10 bakul duku boleh dijual kepada pemborong dengan nilai RM1,000 sehari.

“Lazimnya, proses memetik buah duku bermula dari jam 10 pagi hingga 6.30 petang sebelum ia dihantar kepada pemborong.

“Kami memang seronok setiap kali musim duku kerana ia mendapat sambutan luar biasa hingga bekalan sedia ada sentiasa tidak mencukupi,” katanya.

Menurutnya, dia mengusahakan kebun bapa saudaranya Rabu Hassan, 65, yang mempunyai lebih 50 pokok dengan usia setiap pokok melebihi 40 tahun.

“Setiap kali musim duku, saya akan beri tumpuan sepenuhnya terhadap aktiviti memetik dan menjual buah ini kepada pemborong kerana pendapatannya lebih lumayan berbanding pekerjaan harian sebagai tukang rumah,” katanya.

Zulkifli Ismail, 37, berkata, rata-rata penduduk terutama pemilik kebun duku sentiasa menantikan Ogos hingga November setiap tahun kerana musim buah duku.

“Hanya pada musim duku penduduk berpeluang menambah pendapatan dengan menjual kepada pemborong.

“Pemborong sememangnya memainkan peranan penting untuk memasarkan buah itu ke negeri lain termasuk Kuala Lumpur dan Johor.

“Walaupun harga jualan kepada pemborong tidak tinggi seperti menjualnya terus kepada orang ramai, namun ia berbaloi kerana jumlah buah yang dihasilkan pokok banyak sekali gus kuantiti dijual kepada pemborong juga banyak,” katanya.

Menurut Zulkifli, dia tidak terlalu memikirkan harga pasaran buah duku yang turun naik tetapi lebih mementingkan kelancaran penjualannya.

“Buah duku tidak tahan lama dan hanya bertahan dalam tiga hari. Selepas dipetik, ia perlu segera dijual kepada pemborong sebelum dijual secara runcit.

Zulkifli berkata, dia membantu keluarganya menguruskan kebun arwah nenek yang mempunyai 100 pokok.

“Makin tua pokok duku, makin ia mengeluarkan buah yang berkualiti tinggi dan menepati cita rasa ramai.

“Paling kurang sebanyak 200 kilogram (kg) duku dijual kepada pemborong setiap hari dan pendapatan yang diperoleh sekitar RM100 hingga RM500 sehari bergantung kepada jumlah buah dijual dan harga pasaran semasa,” katanya.

Pemborong, Jahadin Ismail, 49, dari kampung sama berkata, duku yang diambil daripada pengusaha kebun duku di kampung itu sebelum dipasarkan ke Johor dan Kuala Lumpur.

“Harga duku bergantung kepada penawaran semasa. Tahun lalu, berlaku lambakan duku hingga ia hanya dijual pada 50 sen hingga 80 sen saja sekilogram, namun pada tahun ini kami membeli dengan RM3 hingga RM4 sekilogram dan peniaga menjualnya kepada pelanggan dengan RM5 hingga RM6 sekilogram.

“Sebaik menerima duku daripada pekebun sekitar jam 4 hingga 6 petang, ia dibawa ke Johor dan Kuala Lumpur pada jam 10 malam hingga 12 tengah malam.

“Buah berkenaan menjalani proses pengasingan. Duku yang buruk atau tidak menepati piawaian diasingkan bagi menjamin kualiti buah itu apabila dijual di pasaran luar,” katanya. -Ahmad Rabiul Zulkifli

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 2:12 AM