Forensik bomba melakukan siasatan di rumah yang terbakar di Kampung Teluk Kandis, Jalan Salor, Kota Bharu. FOTO ihsan bomba
Forensik bomba melakukan siasatan di rumah yang terbakar di Kampung Teluk Kandis, Jalan Salor, Kota Bharu. FOTO ihsan bomba
Rosliza Mohamed


BAU hangit menyelamatkan dua beranak daripada terperangkap dalam kebakaran di Kampung Teluk Kandis, Jalan Salor, Kota Bharu, 10.35 pagi hari ini.

Difahamkan ketika kejadian, dua beranak itu, Salina Abdul Razak, 50, dan anaknya, Mohd Azim Ibrahim, 12, berada di dalam bilik masing-masing sebelum terhidu bau hangit.

Kedua-duanya bergegas keluar dan tiada kecederaan jiwa dilaporkan. Bagaimanapun, kediaman mereka 60 peratus terbakar.

Suami Salina, Ibrahim Abdullah, 56, berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerjanya di Laloh, Kuala Krai dan dihubungi isterinya memaklumkan kejadian itu.

"Saya segera pulang sejurus mendapat panggilan itu. Isteri memberitahu api bermula dari sebuah bilik dan disedari anak kami sebelum mereka berdua kelua rmenyelamatkan diri.

"Mereka juga meminta bantuan jiran dan saya bersyukur kerana kedua-duanya selamat tanpa sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, seramai 13 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim ke lokasi bersama dua jentera selepas menerima panggilan kecemasan pada 10.40 pagi.

Ketua BBP Kota Darulnaim Wan Mohd Shahrir Azizi Wan Said berkata, ketika tiba, api sedang marak dan pihaknya berjaya mengawalnya selama tujuh minit.

"Api padam sepenuhnya dalam tempoh 40 minit. Tindakan pantas anggota juga berjaya menyelamatkan dua rumah bersebelahan daripada terima nasib sama," katanya.

Beliau berkata, jumlah kerugian dianggarkan RM150,000, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 5:56 PM