FOTO Rasul Azli Samad
FOTO Rasul Azli Samad
Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Pengunjung pusat beli belah di Peringgit, di sini, cemas apabila diminta mengosongkan bangunan terbabit yang didakwa terbakar, kira-kira 7 petang semalam.

Dalam kejadian itu, kepulan asap tebal daripada bahagian tangga belakang di tingkat satu dan dua bangunan terbabit terbakar memaksa pengurusan mengarahkan pengunjung dan semua kakitangan keluar.

Menurut sumber, api dipercayai berpunca darpada puntung rokok yang membakar gentian kaca sehingga menghasilkan asap dalam bangunan terbabit.

Saksi iaitu pekerja satu daripada premis peniagaan dalam pusat beli-belah itu yang dikenali sebagai Diana, 30, berkata, dia dan rakannya terhidu bau hangit.

Katanya, kemudian mereka terdengar dua kali semboyan penggera kecemasan dibunyikan.

"Apabila siren dibunyikan sekali, tiada siapa peduli. Namun, selang lima minit kemudian dibunyikan sekali lagi disusuli pengumuman arahan mengosongkan bangunan.

"Saya lihat pengunjung mula berlari keluar dari bangunan," katanya.

Bagaimanapun, pusat beli-belah terbabit beroperasi seperti biasa, dua jam kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 5:06 AM