Md Jais (kiri) bersama Azmi (dua dari kanan) memakaikan jubah kepada Amran yang dilantik sebagai Datuk Bandar Johor Bahru dan diperhatikan A Rahim ketika majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Datuk Bandar Johor Bahru di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim. FOTO Mohd Azren Jamaluddin
Md Jais (kiri) bersama Azmi (dua dari kanan) memakaikan jubah kepada Amran yang dilantik sebagai Datuk Bandar Johor Bahru dan diperhatikan A Rahim ketika majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Datuk Bandar Johor Bahru di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim. FOTO Mohd Azren Jamaluddin
Izlaily Nurul Ain Hussein


PENGARAH Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Amran A Rahman dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang baru berkuat kuasa Isnin lalu.

Amran, 53, dilantik menjawat jawatan itu bagi menggantikan bekas Datuk Bandar MBJB, A Rahim Nin yang dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri Johor.

Pelantikan Amran diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md Jais Sarday dalam Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Datuk Bandar Johor Bahru ke-11 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor, hari ini.

Md Jais yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan surat pelantikan itu sebelum Amran membaca akuan terima jawatan serta mengangkat sumpah menyimpan rahsia dan ikrar menentang rasuah.

Pada majlis itu, Amran turut disarungkan jubah dan kalung khas berbentuk daun gambir dan lada hitam serta bunga inai merah yang menjadi alat kebesaran Datuk Bandar Johor Bahru serta dipakaikan songkok Datuk Bandar MBJB oleh Md Jais dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Amran yang memegang jawatan Pengarah JAINJ sejak 17 Januari hingga 19 Oktober lalu pernah menjadi Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (2014-2017), Pegawai Daerah Johor Bahru (2012-2014) dan Pegawai Daerah Muar (2011-2012).

Dalam ucapannya selepas pelantikan itu, Amran bercadang meneruskan tradisi kecemerlangan MBJB bagi memenuhi visi menjadikan Johor Bahru sebagai bandar raya bertaraf antarabangsa.

"Strategi dan pelan tindakan yang digariskan dalam Pelan Strategik MBJB 2016 hingga 2020 masih berbaki tiga tahun lagi dan saya komited melipatgandakan usaha bagi memenuhi hasrat itu walaupun dalam tempoh yang semakin singkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 6:32 PM