MOHD Noorazam. FOTO Arkib NSTP
MOHD Noorazam. FOTO Arkib NSTP
Omar Ahmad

Johor Bahru: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Datuk Mohd Noorazam Osman akan dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang baharu.

Noorazam yang mengesahkan perkara itu berkata, beliau sudah menerima surat pertukaran ke jawatan baharu itu, semalam.

"Ya... saya mengesahkan pertukaran saya dan perlantikan itu. Dalam surat itu saya akan mulakan tugas baharu pada Ahad ini. "Saya terima surat pertukaran daripada Setiausaha Kerajaan Negeri kira-kira 3.30 petang semalam. Semua ini berlaku di saat akhir. "Berkaitan angkat sumpah itu akan dibuat kemudian. Tunggu hari Ahad, saya masuk pejabat MBJB," katanya ketika dihubungi untuk mengesahkan perkara itu, hari ini.

Kekosongan jawatan Noorazam berkenaan difahamkan akan diganti oleh Pengarah Urusan PIJ Holdings, Datuk Ramlee A Rahman.

Sebelum ini, media melaporkan seorang Datuk Bandar di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini direman tiga hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah.

Pegawai kanan berusia 60 tahun itu didapati menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek yang dilaksanakan di bawah kendalian sebuah PBT sewaktu beliau menjadi Datuk Bandar.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menahan seorang pesara kerajaan dipercayai bertindak sebagai orang tengah kepada Datuk Bandar terbabit, semalam.

Siasatan kes berkenaan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 1:28 PM