Hazira Ahmad Zaidi


SULAMAN khat Asma'ul Husna dan kalimah Allah SWT bermotifkan bunga antara 63,682 koleksi bunga fabrik yang mendapat pengiktirafan Guinness World Records, tahun lalu.

Koleksi itu kini dipamerkan di seluruh negara menerusi jelajah Pameran Bunga Fabrik Paling Banyak Di Dunia anjuran Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK) dengan usahasama Pusat Latihan Kraftangan Epal (Pusat Epal).

Pengarah Pemasaran Pusat Epal, Eric Chua berkata, Kelantan menjadi negeri kelima yang dikunjungi pihaknya bagi memperkenalkan koleksi yang diiktiraf dunia itu.

"Antaranya adalah 99 bingkai sulaman khat Asma'ul Husna dan Allah ini yang mana setiap satu daripadanya mempunyai 100 kuntum bunga daripada fabrik berkualiti.

"Keseluruhannya, hampir 10,000 kuntum bunga yang disulam untuk menghasilkan kalimah suci itu, sekali gus menjadikannya sebahagian daripada koleksi istimewa untuk diiktiraf rekod dunia.

"Selain itu, terdapat juga karya seni jahitan yang lain seperti Patchwork, Quilting dan Applique berbunga, buatan tangan peserta," katanya dalam sidang media selepas pembukaan pameran itu di pusat beli belah Aeon Mall, Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Eric berkata, mereka menerima pengiktirafan Guinness World Records di Putrajaya pada 3 November 2016, untuk rekod bunga fabrik terbanyak iaitu berjumlah 63,682 yang turut disertai beberapa agensi kerajaan.

Katanya, lebih 1,000 tenaga kerja terbabit dengan projek itu termasuk pelajar Pusat Epal, banduan dan badan bukan kerajaan.

Sebelum ini, Pusat Epal turut diiktiraf menerusi penghasilan beg terbesar yang menggunakan kain perca dan sofa terpanjang daripada seluar jeans terpakai.

Beliau berkata, Kelantan dikunjungi selepas Selangor, Sabah, Sarawak dan Terengganu untuk mempamerkan koleksi itu yang bermula hari ini sehingga Ahad.

Pihaknya juga menyasarkan lebih 10,000 pengunjung bagi setiap destinasi. Jelajah pameran dijangka berlangsung sehingga Jun 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 4:33 PM