ISADORA gabung dua tona pastel.
ISADORA gabung dua tona pastel.
Intan Mas Ayu Shahimi


BERHIAS untuk beribadah adalah diharuskan dalam Islam. Syaratnya, pakaian yang dikenakan hendaklah suci dan tidak keterlaluan hingga menimbulkan riak atau mengganggu tumpuan diri sendiri mahupun orang lain khususnya apabila menunaikan solat di masjid.

Bagi wanita yang berkemampuan, pemilihan telekung yang selesa, cantik dan sejuk menjadi antara pendorong untuk terus meningkatkan lagi kualiti ibadat, terutama setiap kali tiba waktu solat.

Sungguhpun fungsinya sama seperti telekung yang lain, namun cita rasa setiap individu dalam memilih pakaian solat terbaik buat diri sendiri tidak dapat dihalang.

Tambahan, telekung kini tidak lagi terhad kepada penggunaan harian individu, tetapi turut dijadikan hadiah istimewa untuk ibu tercinta, pasangan, selain dihias indah sebagai hantaran perkahwinan.

Mencuri perhatian ramai sejak hampir dua tahun lalu, jenama telekung tempatan, Telekung TEA kini menampilkan lebih banyak pilihan koleksi pakaian solat dengan pelbagai perincian menarik, khususnya sulaman tangan.

Pemilik jenamanya, Areej Torla berkata, koleksi pakaian solat berkenaan mula diperkenal sejak 2013 bersama suaminya Ahmad Aiman Che Ghani. Mereka cuba membawa kelainan dengan menawarkan pelbagai koleksi telekung eksklusif dengan perincian sulam.

Berbeza dengan telekung sulaman tampal, seni sulaman tangan dilihat mempunyai kelebihan. Hasilnya begitu halus, dijahit rapat menggunakan pilihan warna menarik, rapi dan cantik.

“Selain pilihan warna menarik, penggunaan fabrik berkualiti juga menjadi keutamaan. Kita mahu pemakai sentiasa berasa selesa setiap kali mendirikan solat atau menjalani ibadat lain,” katanya.

Antara rekaan terkininya adalah Telekung Rania yang diperbuat daripada fabrik rosella premium. Ia adalah fabrik yang menjadi tanda pengenalan jenama itu sejak mula. Sifatnya yang lembut dan sejuk menjadikan telekung yang dihasilkan laris dijual setiap kali.

“Telekung Rania mempunyai perincian sulaman yang lebih banyak dan tebal. Ia menggabungkan sulaman bunga dan kerawang serta tambahan mutiara. Kekal dalam pilihan rona lembut, telekung ini sesuai buat mereka yang sukakan elemen mewah dan eksklusif.

KOLEKSI Rania (kiri) dengan sulaman dan mutiara. Antara koleksi sulaman bermotif kontemporari.
KOLEKSI Rania (kiri) dengan sulaman dan mutiara. Antara koleksi sulaman bermotif kontemporari.

“Bagi koleksi Telekung Isadora pula, kami bawakan gabungan dua ton pastel berbeza seperti krim dan hijau; kelabu dan merah jambu serta biru dan merah jambu. Sulaman motif bunga pada koleksi ini tampak lebih lebar dan menonjol, sesuai menghiasi dulang hantaran,” katanya.

Untuk pilihan perincian lebih ringkas, Areej mencadangkan koleksi Irisia. Telekung ini menonjolkan kombinasi sulaman bermotif kontemporari dengan sulaman goyang tradisional.

BUNGKUSAN sesuai untuk hadiah buat yang tersayang.
BUNGKUSAN sesuai untuk hadiah buat yang tersayang.

Manakala koleksi Telekung Broderie pula antara yang paling diminati kerana cantuman rendanya yang unik. Ia dijahit sulam menggunakan renda bermotifkan bunga berkualiti tinggi dan sesuai buat mereka yang mahukan telekung selesa dengan perincian minimalis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 5:00 AM