HIDAYAH bersama anggota Hidaya International.
HIDAYAH bersama anggota Hidaya International.
KOLEKSI Sugar & Spice cukup indah digayakan sepanjang musim perayaan.
KOLEKSI Sugar & Spice cukup indah digayakan sepanjang musim perayaan.
KOLEKSI Sugar & Spice cukup indah digayakan sepanjang musim perayaan.
KOLEKSI Sugar & Spice cukup indah digayakan sepanjang musim perayaan.
KOLEKSI Sugar & Spice cukup indah digayakan sepanjang musim perayaan.
KOLEKSI Sugar & Spice cukup indah digayakan sepanjang musim perayaan.
Intan Mas Ayu Shahimi


HIDAYA International cukup sinonim dengan fesyen abaya dan Muslimah bercita rasa tinggi. Mengekalkan konsep serupa, jenama antarabangsa milik anak tempatan ini tampil dengan 28 koleksi abaya bertemakan Sugar & Spice, khusus untuk lebaran 2017.

Bijak bermain dengan fabrik untuk menampilkan ciri busana indah, serba guna dan eksklusif, koleksi kali ini cukup sesuai digayakan di pelbagai acara rasmi, majlis keramaian, dijadikan persalinan ketika mengerjakan ibadah umrah atau haji serta bersantai bersama keluarga sempena Ramadan mahupun Aidilfitri nanti.

Dihasilkan di Abu Dhabi dan Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), koleksi ini cukup unik kerana menawarkan pilihan abaya tradisional dan gaun abaya. Kedua-dua jenis abaya ini direka khusus untuk memberi kelainan kepada pemakai, sekali gus membudayakan pemakaian sopan dalam kalangan Muslimah seluruh dunia.

Menurut pengasasnya, Toh Puan Seri Hidayah Wan Ismail, koleksi Sugar & Spice membawa kelainan dari segi perincian, potongan, penggunaan fabrik, sulaman dan kemasan.

“Sesuai dengan namanya, koleksi ini menggabungkan ciri manis dan suram, ceria dan muram serta lembut dan tegas. Semuanya bagaikan bersatu dalam himpunan koleksi Aidilfitri 2017, Sugar & Spice.

“Kami mahu menyampaikan mesej jelas kepada penggemar abaya bahawa wanita moden perlu tampil feminin, tetapi penuh keyakinan. Mereka perlu menonjolkan perilaku manis, mengenakan pakaian sederhana, namun harus kekal bersemangat kental.

“Umpama sekotak coklat pelbagai rasa, koleksi ini mempunyai variasi tersendiri. Hitam pada hitam, putih pada hitam, pastel dengan renda, pastel dengan bunga-bungaan dan begitulah seterusnya. Ada juga busana yang diberi perincian bulu, organza dan sulaman bercirikan India yang menambah keunikan kepada koleksi.

“Ada juga abaya ringkas dan sederhana, khusus untuk mereka yang gemar menyarung busana jenis ini sepanjang Ramadan,” katanya.

Melihat kepada keseluruhan koleksi Sugar & Spice, nampak Hidayah cenderung kepada abaya sulam yang menampilkan warna terang dengan motif bunga dan rempah ratus India. Lengkap dengan pilihan selendang jenis panjang dan bawal, koleksi dari Dubai itu cukup indah digayakan sepanjang musim perayaan nanti.

Walaupun sebahagian besar koleksi berlatarkan warna suram biru gelap dan hitam, perincian di bahagian pergelangan tangan, dada dan kaki busana tetap menaikkan seri pemakai.

“Lebaran ini, kami tawarkan siri Cookies And Cream, iaitu abaya rona kelabu lembut yang dipadankan dengan renda putih sejuk; Black Forest, satu-satunya abaya sulam bercirikan India yang ‘manis’ dan Star Anise yang memiliki perincian sulaman manik unik.

“Apa yang pasti, kami bukan sekadar mahu memperkenalkan gaya anggun sopan dalam kalangan Muslimah tempatan, tetapi turut menaikkan populariti abaya selaku busana eksklusif untuk semua wanita, termasuk bukan Islam.

“Usah bimbang dengan potongan abaya yang keluaran ini kerana ia membawa kesan langsing, tetapi masih longgar di paras pinggang hingga ke kaki. Ada juga potongan abaya tradisional yang tidak mengikut bentuk tubuh untuk peminat tegar rekaan jenis ini,” katanya.

Semua koleksi boleh didapati di ruang pameran 1-5, Ken Bangsar bermula 26 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 4:57 AM