TENGKORAK manusia yang dijumpai di tapak pembinaan parkir.
TENGKORAK manusia yang dijumpai di tapak pembinaan parkir.
Amrullah Abdul Karim


Bukit Beruntung: “Ketika saya memeriksa kawasan tempat pembersihan tapak parkir itu petang semalam (kelmarin), saya ternampak objek putih dan pada awalnya saya sangka itu tengkorak kepala kera.

“Namun selepas saya teliti, ia menyerupai tengkorak manusia,” kata saksi kejadian penemuan tengkorak kepala manusia yang hanya mahu dikenali sebagai Goh, 35.

Goh yang ditemui di lokasi penemuan tengkorak itu berkata, tengkorak terbabit dijumpai berdekatan longkang besar sebuah kawasan perindustrian di Jalan Kemunting 2, di sini, jam 5.30 petang, kelmarin.

Menurutnya, kawasan itu dibersihkan untuk dijadikan tempat parkir kenderaan berat sebuah syarikat perkhidmatan kenderaan.

“Selepas pekerja membuat pembersihan di tapak pembinaan parkir ini, saya adakan pemeriksaan rutin sebelum menemui tengkorak terbabit.

“Sejurus penemuan itu, saya hubungi polis sebelum sepasukan anggota polis datang membuat siasatan di kawasan ini sehingga jam 10 malam tadi (kelmarin),” katanya.

Bagaimanapun, Goh berkata, tiada rangka lain ditemui di kawasan itu.

“Polis yang menjalankan siasatan di lokasi ini juga tidak menemui tulang atau rangka lain.

“Kejadian ini mengejutkan kami semua dan kawasan itu sebelum dibersihkan dipenuhi semak-samun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bhak Pai berkata, tengkorak kepala terbabit sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, polis turut mencari bahagian tulang dan rangka lain di kawasan itu namun tidak menemui sebarang bukti yang boleh dikaitkan untuk membantu siasatan.

“Siasatan di lokasi kejadian ini hanya menemui tengkorak kepala itu saja dan kita masih menunggu keputusan laporan forensik mengenainya,” katanya.

Lim berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga siasatan menemui bukti baru yang boleh dikaitkan dengan punca lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 7:19 AM