MOHD Taib (kiri) menunjukkan rantai leher yang dijumpai bersama dua mayat yang dijumpai di Ladang Estet Tennamaran, Bestari Jaya.
MOHD Taib (kiri) menunjukkan rantai leher yang dijumpai bersama dua mayat yang dijumpai di Ladang Estet Tennamaran, Bestari Jaya.

Kuala Selangor: Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta hadir ke mana-mana balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan penemuan dua tengkorak dan serpihan tulang di Ladang Estet Tennamaram, Bestari Jaya, di sini, 29 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Mohd Taib Ahmad berkata, hasil bedah siasat ke atas tengkorak dan serpihan tulang itu masih lagi tidak dapat mengesahkan identitinya.

Menurutnya, polis berdepan kesukaran memandangkan identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti kerana tengkorak dan tulang ditemui terbakar keseluruhannya.

“Bedah siasat sudah dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang tetapi tidak mendapat banyak bukti kecuali sampel asid deoksiribonukleik (DNA) di bahagian tulang dan sampel gigi dari tulang tengkorak.

“Daripada bukti DNA yang ditemui hanya boleh mengesahkan tengkorak dan tulang adalah manusia dewasa namun jantinanya masih tidak dapat dikenal pasti,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, di sini, semalam.

Mohd Taib berkata, polis juga menemui rantai logam pada salah satu rangka mayat berkemungkinan milik mangsa.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Selangor Asisten Superintendan Ramly Abu Bakar di talian 012-5112034 ataupun balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 8:01 AM