ISMAIL (tengah) pada Majlis Program Pemasangan LJK di Dewang Kampung Pasir Pondok, semalam.
ISMAIL (tengah) pada Majlis Program Pemasangan LJK di Dewang Kampung Pasir Pondok, semalam.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Samariang: Kemudahan prasarana dan infrastruktur fizikal sentiasa menjadi agenda utama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi memastikan keselesaan rakyat dalam segenap aspek berada pada tahap terbaik.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementeriannya menjalinkan kerjasama erat dengan semua kerajaan negeri untuk meneliti keperluan semasa yang boleh ditambah baik menerusi pelbagai program yang diyakini mampu menaik taraf kehidupan rakyat.

Menurutnya, kemudahan prasarana dan infrastruktur fizikal yang lengkap khususnya di kawasan luar bandar mampu memberi impak positif dalam pelbagai aspek khususnya taraf hidup, ekonomi sekaligus mengekang jenayah.

“KKLW sentiasa memantau keperluan prasarana dan infrastruktur yang diperlukan rakyat di sesebuah kawasan kerana saya percaya kemudahan yang lengkap dapat membentuk kualiti hidup lebih baik.

“Justeru, KKLW akan memastikan peruntukan yang diberikan Kerajaan Pusat setiap tahun digunakan sepenuhnya untuk membangunkan kemudahan prasarana dan infrastruktur di luar bandar,” katanya ketika majlis perasmian Program Lampu Jalan Kampung (LJK) di Dewan Kampung Pasir Pandak, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Timbalannya Datuk Alexander Nanta Linggi, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Utiliti Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kementeriannya memperuntukkan RM14.64 juta untuk memasang 16,292 unit lampu jalan kampung terutama di kawasan tumpuan dan strategik dalam dua fasa di Sarawak pada tahun ini yang dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Beliau berkata, peruntukan itu sebahagian daripada RM100 juta untuk memasang 120,000 lampu jalan kampung yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan bajet tahun lalu.

“Kesejahteraan rakyat menjadi tumpuan kerajaan kerana ia akan melahirkan penduduk luar bandar yang mampu bersaing sekali gus membantu mengurangkan bilangan miskin tegar dalam kalangan penduduk kawasan berkenaan.

“Saya berharap dalam pembentangan bajet tidak lama lagi, Perdana Menteri akan memberikan buah tangan untuk penduduk luar bandar yang terus menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 6:21 AM