Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika hadir Majlis Peluncuran Strategi Pembentangan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika hadir Majlis Peluncuran Strategi Pembentangan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Muhaamad Hafis Nawawi


Putrajaya: Kerajaan tegas dengan pendirian tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel berlabuh di pelabuhan di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia teguh dengan pendirian untuk tidak membenarkan mana-mana syarikat berpangkalan di Israel masuk ke negara ini.

"Tak ada (kapal dari Israel berlabuh). Kita tak benarkan," katanya selepas Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah (NACS) 2024-2028, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Sebelum ini, laporan sebuah portal berita melaporkan kapal kargo yang dimiliki syarikat Israel Zim Integrated Shipping Services, berlabuh di Pelabuhan Klang pada 29 April lalu, sebelum berlepas sehari kemudian menuju ke Pelabuhan Shantou, China.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah membenarkan kapal Israel berlabuh di negara ini sewaktu zamannya.

Bagaimanapun, Anwar berkata, kerajaan pada 2022 membatalkan kebenaran yang pernah diberikan Dr Mahathir dan mengekalkan pendirian itu sehingga ke hari ini.

"Yang benarkan adalah Tun M yang membawa kapal Zim dan kita dah batalkan, seingat saya pada pada 2022. Tun M semasa (beliau) menjadi Perdana Menteri dan tiada alasan yang diberikan.

"(Kebenaran) diteruskan sehinggalah kita (Kerajaan Perpaduan) kita batalkan dengan persetujuan Jemaah Menteri. Itu pendirian kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 2:26 PM