MOHD Asri.
MOHD Asri.
BERNAMA

Kota Bharu: Kerajaan Kelantan berhasrat mengembalikan semula 16 daripada 18 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan Februari lalu untuk diluluskan semula dalam perundangan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Mohd Asri Mat Daud berkata, perkara itu akan dibincangkan menerusi Konvensyen Pemantapan Perundangan dan Institusi Syariah pada 21 Mei ini.

"Tiga pembentangan akan diadakan dalam konvensyen itu berkait enakmen yang telah terbatal itu dan hasilnya kita akan bincangkan secara lebih teliti menerusi Jawatankuasa Khas Pertahan Enakmen Kanun Jenayah.

"Kita akan usaha untuk memikirkan cara seksyen yang terbatal itu dapat dibawa balik dalam perundangan negeri untuk diluluskan semula," katanya selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini, tadi.

Menurutnya, jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Menteri Besar Kelantan akan meneliti semula 16 seksyen yang terbatal itu termasuk membuat perubahan tertentu agar mempunyai justifikasi yang kuat dan tidak bercanggah dengan undang-undang Mahkamah Persekutuan.

Mohd Asri berkata, kerajaan negeri mempunyai keyakinan penuh enakmen syariah itu akan dikembalikan kepada Kelantan untuk dikuatkuasakan.

"Kami yakin 100 peratus ia akan diluluskan dan dapat dilaksanakan semula berikutan kita juga mempunyai pakar perundangan. Malah perkara ini sebulat suara dipersetujui semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua ADUN pembangkang dalam sidang DUN lalu," katanya.

Pada 6 Mac lalu, DUN Kelantan yang bersidang meluluskan usul untuk menggubal semula 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 yang diisytihar batal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu.

Sebelum ini, panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 membuat keputusan membatalkan enakmen terbabit selepas membenarkan petisyen seorang peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 4:38 PM