Gambar satelit edaran yang diperoleh daripada Planet Labs PBC dan diambil pada 3 Mei 2024 menunjukkan pemandangan luas sempadan Kerem Shalom yang menyeberangi antara Israel dan Semenanjung Gaza. FOTO AFP
Gambar satelit edaran yang diperoleh daripada Planet Labs PBC dan diambil pada 3 Mei 2024 menunjukkan pemandangan luas sempadan Kerem Shalom yang menyeberangi antara Israel dan Semenanjung Gaza. FOTO AFP
Nurul Najwa Mohd Noordin


Kuala Lumpur: Penduduk Palestin berhadapan kesukaran menerima bantuan makanan berikutan sekatan di pintu lintasan Kerem Shalom oleh rejim Zionis.

Pengerusi Sekretariat Induk Ops Ihsan, Jismi Johari berkata, Israel memberi arahan pemindahan kurang daripada 24 jam dan itu melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta norma kemanusiaan.

"Penutupan itu menimbulkan keresahan warga Palestin yang sudah kekurangan bekalan sedia ada dan mencetus malapetaka kemanusiaan serta dikhuatiri bakal mencatatkan rekod kematian terburuk selepas Perang Dunia Kedua," katanya.

Menurutnya, ratusan treler yang membawa bantuan kemanusiaan kini terkandas termasuk 4,000 pek bantuan dibekalkan Ops Ihsan.

Jismi berkata, Sekretariat Ops Ihsan turut mengusahakan inisiatif makanan bermasak iaitu Dapur Ihsan kepada warga Palestin di Deir Al Balah.

"Pada masa kini, kami sedang menunggu maklum balas daripada petugas Dapur Ihsan untuk menganalisis penutupan lintasan pintu masuk dan langkah terbaik bagi mendepani kemelut untuk meneruskan bantuan kepada rakyat Palestin di timur Rafah," katanya.

Dalam pada itu, Penasihat Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Nurul Izzah Anwar berkata, jutaan warga Gaza di Rafah berhadapan dengan krisis ancaman serta mangsa tebusan Israel.

"Ini adalah taktik kotor untuk memaksa Hamas bersetuju dengan syarat mereka dalam proses gencatan senjata.

"Selepas beberapa cadangan dan rundingan gencatan senjata, Hamas sudah menerima draf gencatan senjata dicadangkan oleh Qatar dan Mesir, namun dunia sekali lagi dikejutkan dengan aksi kotor Israel yang menghantar kereta kebal mereka ke kompleks imigresen Rafah," katanya.

Beliau berkata, pergerakan sukarelawan dan bantuan makanan kini semakin sukar susulan Israel menguasai kompleks itu yang menjadi pintu keluar masuk dari Gaza dan Mesir.

Menurutnya, tindakan Israel itu mencabul Perjanjian Philidelphi pada 2005 berikutan mereka sedang beroperasi di Koridor Philidelphi yang bersetuju kawasan itu adalah kawasan bebas tentera (demilitarized zone).

Katanya, diharapkan segenap lapisan masyarakat memberi tekanan kepada Israel supaya berhenti menambah kesengsaraan warga Gaza khususnya mereka yang sedang berlindung di Rafah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 4:32 PM