DR Subramaniam (kanan)  mengunjungi ruang pameran selepas merasmikan Hari Penyelidikan IJN 2017, semalam.
DR Subramaniam (kanan) mengunjungi ruang pameran selepas merasmikan Hari Penyelidikan IJN 2017, semalam.
Norhadiani Baharom


Kuala Lumpur: Institut Jantung Negara (IJN) menemui teknologi baru menerusi penghasilan peranti mekanikal yang dinamakan Left Ventricular Assist Device (LVAD) untuk rawatan kegagalan jantung.

Meskipun LVAD masih dalam fasa ujian haiwan dan dalam peringkat prototaip, inovasi ini berpotensi mengatasi masalah jantung berkaitan Paten Ductus Arteriosus (PDA) iaitu saluran darah gagal berfungsi dengan baik selepas kelahiran.

Pengarah Penyelidikan Klinikal IJN, Datuk Dr Suhaini Kadiman berkata, pasukan penyelidik Pusat Kejuruteraan Kardiovaskular IJN bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sudah menjalankan kajian mengenai LVAD ini sejak empat tahun lalu.

“Ia belum boleh dianggap berjaya kepada manusia dan masih di peringkat kajian ke atas haiwan.

“Bagaimanapun prototaip LVAD ini diyakini membantu pesakit jantung terutama kanak-kanak yang menghidap masalah ini seawal kelahiran.

“Kos bagi satu jantung mekanikal ini mencecah RM400,000 dan kami berusaha mendapatkan dana selain mencari mekanisme supaya harga pasaran nanti mampu dimiliki iaitu RM200,000,” katanya pada majlis perasmian Hari Penyelidikan IJN 2017, di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Subramaniam berkata, usaha IJN itu mampu memberi kehidupan lebih baik kepada pesakit jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 5:28 AM