KEADAAN pesakit jantung hamil boleh merisikokan diri dan kandungan.
KEADAAN pesakit jantung hamil boleh merisikokan diri dan kandungan.
Nurul Husna Mahmud

BERDASARKAN Pangkalan Data Sulit Malaysia mengenai Kematian Ibu Bersalin (CEMD) pada 2009 hingga 2014 mendapati penyakit jantung dalam tempoh kehamilan adalah punca utama kematian ibu di Malaysia.

Jumlah kematian akibat penyakit jantung mencecah 50 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian ketika bersalin dengan satu pertiga ibu yang meninggal sudah mengetahui mengenai penyakit mereka sebelum kehamilan.

Oleh itu, wujudnya keperluan mendesak terutama pendekatan yang komprehensif dan holistik untuk menangani jumlah kematian ketika bersalin dalam kalangan pesakit jantung menerusi kaunseling prakehamilan, penjagaan sepanjang tempoh kehamilan dan pemantauan rapi selepas bersalin.

Menurut Perunding Kanan Pediatrik dan Kardiologi Kongenital Institut Jantung Negara (IJN), Dr Geetha Kandavello, sebenarnya penyakit jantung sudah boleh dikesan dalam kebanyakan wanita ketika pertama kali mereka mengandung.

“Pada awal saringan kehamilan, penyakit jantung sudah boleh didiagnos pada wanita mengandung. Pada peringkat awal kehamilan, ibu yang mengalami masalah jantung boleh menyesuaikan dengan perubahan badan mereka tanpa masalah.

“Namun gejala dan komplikasi penyakit mula dirasai seiring dengan perkembangan kehamilan sekali gus menandakan risiko turut meningkat baik untuk si ibu atau anak dalam kandungan.

“Menyedari situasi genting yang bakal dihadapi pesakit, kaunseling prahamil bagi membantu mendapat maklumat dan sokongan sewajarnya perlu dilaksanakan segera.

“Apatah lagi dengan pertambahan jumlah pesakit jantung wanita yang kian meningkat turut membawa kepada pertambahan jumlah kanak-kanak dilahirkan dengan masalah jantung,” katanya ketika kempen ‘Rancangan Kehamilan, Hasil yang Lebih Selamat’ anjuran Unit Perubatan Perbidanan Hospital Kuala Lumpur dan Yayasan IJN baru-baru ini.

DR Geetha
DR Geetha

Kata beliau lagi, antara faktor kemungkinan wanita turut menghidapi masalah jantung pada awal kehamilan termasuk sejarah penyakit kritikal iaitu merujuk kepada wanita yang pernah menjalani kemoterapi atau radioterapi kerana badan mereka mungkin tidak dapat menampung dengan perubahan fisiologi normal kehamilan.

Selain itu masalah umur ibu dan morbiditi lanjutan seperti penyakit hipertensi, kencing manis, kolesterol tinggi dan obesiti menyebabkan wanita sepatutnya menjalani saringan jantung sebelum hamil.

Penyakit jantung jejas kehamilan

Kehamilan yang biasa akan menyebabkan peningkatan jumlah darah sehingga 50 peratus pada penghujung trimester kedua dan awal trimester ketiga.

Terdapat juga peningkatan ketara dalam jumlah darah ketika dan selepas bersalin. Ini boleh membahayakan wanita yang menghidapi penyakit jantung.

Kadar degupan jantung juga meningkat mengikut tempoh kehamilan dan boleh menyebabkan ritma jantung tidak normal pada wanita berkenaan. Malah kelompok ini turut berdepan risiko mendapat darah beku ketika kehamilan terutama mereka yang mempunyai injap jantung mekanikal apabila terdedah kepada serangan strok atau pembentukan darah beku di injap berkenaan.

Kaunseling prakehamilan dan Pelan Penjagaan Individu

Sehubungan itu, Dr Geeta menekankan langkah pencegahan termasuk kaunseling sebelum tiba tempoh usia kehamilan wajar dilaksanakan kepada kumpulan sasaran ini.

“Kaunseling prakehamilan sepatutnya dilakukan seawal mungkin sebaik-baiknya ketika baligh, kemudian sebelum berkahwin dan dalam tempoh tiga hingga enam bulan sebelum mengandung.

“Fokus bukan hanya kepada pesakit sebaliknya turut membabitkan pasangan dan ahli keluarga kedua-dua pihak. Selain itu perlu diperkemaskan juga penilaian perubatan menyeluruh termasuk sejarah penyakit, rawatan yang pernah diterima dan ubat yang diambil. Ia penting kerana terdapat ubat-ubatan yang boleh mendatangkan bahaya kepada bayi,” katanya.

Beliau turut mengesyorkan pelan penjagaan individu untuk pesakit yang memang ada penyakit jantung. Pelan ini perlu disebarkan kepada semua pengamal perubatan yang terbabit dalam penjagaan ibu berkenaan. Penting juga memasukkan nama doktor untuk dihubungi jika masalah berlaku.

Pesakit dikelaskan mengikut kumpulan risiko

Kata Dr Geetha, ketika ini pihaknya menggunakan model Panduan Risiko Kardiovaskular Pertubuhan Kesihatan Sedunia (mWHO) yang sudah disahkan Amalan Klinikal Malaysia dalam mengkelaskan pesakit berdasarkan empat kumpulan risiko.

Jika seseorang jatuh ke dalam risiko kardiovaskular mWHO satu atau dua, hasilnya kehamilan adalah baik. Tetapi pesakit dalam kategori risiko mWHO kardiovaskular empat, risiko kematian ibu mungkin sehingga 30 peratus atau lebih dan kehamilan tidak disyorkan.

PASUKAN IJN-MHKL COCC kolaborasi antara pakar kardiologi dan perbidanan membantu pesakit jantung yang hamil.
PASUKAN IJN-MHKL COCC kolaborasi antara pakar kardiologi dan perbidanan membantu pesakit jantung yang hamil.

Namun Dr Geetha berkata, majoriti pesakit jatuh ke dalam kumpulan risiko mWHO tiga dan mempunyai kematian ibu antara lima hingga 15 peratus dan risiko komplikasi yang tinggi bagi kedua-dua ibu dan bayi. Kehilangan janin boleh berlaku antara 15 hingga 30 peratus dalam beberapa kecacatan jantung.

Wanita yang mengalami penyakit jantung kongenital mempunyai risiko lebih tinggi untuk ‘mewariskan’ penyakit jantung kongenital kepada anak. Bagi kumpulan wanita ini, sangat penting untuk mereka menjalani saringan jantung janin pada usia kehamilan 18 hingga 22 minggu. Selain itu, janin juga mempunyai risiko sehingga 50 peratus untuk menghidapi sindrom Marfan dan Di George.

Keguguran dan penyakit jantung

Mengenai nasihat dan saranan berkaitan keguguran, Dr Geetha berkata, ia diberikan dengan mengambil kira semua aspek dan seawal mungkin dalam membantu pesakit merancang kehamilan mereka.

“Kontraseptif oral dan kaedah penghalang (kondom) mungkin bukan yang terbaik untuk semua pesakit. Malah, pil kontraseptif oral standard mungkin tidak sesuai bagi kebanyakan pesakit jantung.

“Kami juga mempunyai kaunselor agama bagi membantu menyelesaikan konflik berkenaan dalam menyentuh pelbagai disiplin supaya pesakit dapat menikmati pengalaman kehamilan lebih selamat,” katanya.

Ketika ini atas inisiatif pasukan IJN-MHKL COCC sudah ditubuhkan sejak 2008 lagi iaitu mengumpul pelbagai pakar untuk memastikan penjagaan yang optimum bagi wanita penyakit jantung.

Perkhidmatan diperluas dengan perancangan memasukkan bahagian caesarian di IJN khusus buat pesakit berisiko tinggi yang memerlukan pemantauan rapi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 5:30 AM