RUMAH yang dibakar di Maungdaw di selatan Rakhine.
RUMAH yang dibakar di Maungdaw di selatan Rakhine.
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Sebanyak 18 perkampungan di Rathedaung, Wilayah Rakhine, Myanmar sudah dimusnahkan serta dibakar pihak tentera Myanmar dan militia hingga memaksa penduduk melarikan diri di kawasan pergunungan serta sempadan.

Perkara itu didedahkan Pengarah Eksekutif Jaringan Hak Asasi Manusia Burma (BHRN) Kyaw Min yang berkata, semua penduduk di 18 perkampungan terbabit menjadi mangsa kekejaman dan terpaksa melarikan diri.

“Lima perkampungan ini yang dihuni 11,000 penduduk Rohingya dalam keadaan terdesak untuk meneruskan kehidupan termasuk kekurangan bekalan makanan.

“Perkampungan ini antaranya Nyaung Bin Gyi, Ah Naut Pyin, Sin Khon Taing, Arkar Taung and Kan Seik buat masa ini masih lagi terselamat namun kita menjangkakan bahawa pihak tentera mungkin akan melakukan tindakan serupa seperti kampung lain,” katanya kepada Harian Metro menerusi kiriman e-mel, semalam.

Kyaw berkata, pihaknya turut dimaklumkan bahawa bekalan makanan untuk lima kampung ini hanya cukup bagi tempoh seminggu saja lagi.

Beliau berkata, penduduk di Kampung Nyaung Bin Gyi pernah melaporkan kepada BHRN bahawa bekalan makanan untuk mereka sudah dicatu sejak Jun tahun lalu.

“Daripada 1,781 penduduk yang tinggal di lokasi ini, hanya 1,391 saja yang menerima bekalan makanan manakala baki 400 lagi perlu berkongsi.

“Kini, kebanyakan pelarian Rohingya cuba untuk memasuki kem di Bangladesh dan menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa kekejaman tentera,” katanya.

Minggu lalu, Permanent People’s Tribunal (PPT) yang bersidang di Universiti Malaya (UM) mendapati Myanmar melakukan penghapusan etnik berdasarkan bukti dan pengakuan mangsa.

Keganasan terbaru di Rakhine, Myanmar sejak 25 Ogos lalu menyebabkan lebih 400,000 etnik Rohingya dilapor melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh.

Tiga wilayah utama di Rakhine iaitu Maungdaw, Rathedaung dan Buthidaung antara kawasan paling terjejas membabitkan hampir 25 perkampungan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 6:34 AM