ETNIK Rohingya melarikan diri ke Bangladesh selepas serangan dilakukan tentera Myanmar.
ETNIK Rohingya melarikan diri ke Bangladesh selepas serangan dilakukan tentera Myanmar.
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya 200 etnik Rohingya terkorban manakala ribuan lagi terpaksa melarikan diri berikutan operasi ketenteraan yang dilaksanakan kerajaan Myanmar membabitkan tiga wilayah di Rakhine.

Tiga wilayah utama di Rakhine iaitu Maungdaw, Rathedaung dan Buthidaung antara kawasan paling terjejas membabit hampir 25 perkampungan.

Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, serangan dilakukan tentera kerajaan Myanmar membabitkan 25 perkampungan di tiga wilayah Rakhine.

“Kita tidak dapat jumlah sebenar kematian namun sekurang-kurangnya 200 orang etnik Rohingya sudah terkorban. Ada sumber kita mengatakan jumlah kematian sudah mencecah 500 orang.

“Serangan masih berlaku sehingga waktu ini (semalam). Berdasarkan data yang kita peroleh daripada orang perhubungan MAPIM di wilayah itu, lebih daripada 50,000 etnik Rohingya membabitkan tiga wilayah itu sudah melarikan diri,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, di sini, semalam.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Baitul Rahmah - MAPIM 552095224432 (Maybank) atau ‘Rohingya Humanitarian Fund - MAPIM’ 02020010072272 (Bank Islam).

Ahmad Tarmizi berkata, pihak tentera dan militia yang memasuki perkampungan ini membakar rumah masyarakat Rohingya termasuk sebuah masjid purba yang berusia ratusan tahun.

“50,000 etnik Rohingya ini dikategorikan sebagai pelarian dan mereka kini berlindung di hutan dan ada juga yang menuju ke sempadan Teknaf, Bangladesh untuk perlindungan kem di negara itu.

“Saya tidak pasti apakah respons kerajaan Bangladesh berhubung situasi terbaru di Rakhine namun apa yang kita tahu, pihak berkuasa Bangladesh sedang mengawal ketat sempadan mereka,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat Rohingya ini melarikan diri sehelai sepinggang dan terpaksa berlindung di hutan sementara menunggu keadaan tenang semula.

Menurutnya, tentera Myanmar bertindak membakar hampir keseluruhan penempatan mereka dan tindakan itu jelas menunjukkan pengusiran secara sistematik.

“MAPIM sedang berusaha untuk menghantar bantuan kecemasan di tiga wilayah terjejas ini menerusi orang perhubungan kita di sana, namun keadaan amat sukar.

“Buat masa ini, kita merancang untuk menghantar khemah sementara, bantuan makanan dan bekalan keperluan lain seperti pakaian dan sebagainya,” katanya.

Katanya, pengurusan bantuan kecemasan itu menghadapi kesukaran kerana keadaan di tiga wilayah tidak menentu, namun MAPIM serta wakil organisasi itu di Myanmar sedang berusaha bertungkus lumus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 11:32 AM