KUMPULAN pendaki bergambar kenangan di puncak Gunung Lang.
KUMPULAN pendaki bergambar kenangan di puncak Gunung Lang.
Safuri Kamarudin


Pengkalan Hulu: Gunung Lang yang terletak di Kampung Kuak Hulu tidak asing kepada pendaki yang gemar aktiviti lasak dan melihat keindahan alam semulajadi sambil menikmati udara segar awal pagi.

Keindahannya menarik 50 pendaki dari Kedah dan Pulau Pinang mendaki gunung setinggi 1,145 meter bermula jam 2 pagi dan tiba di puncak jam 5 pagi, semalam.

Ketua kumpulan pendaki Nurul Jannah Mohd Ghuzlan, 32, dari Kampung Kuak Luar berkata, sebelum mendaki gunung itu mereka terlebih dulu meneroka bersama penduduk setempat dan malim gunung yang arif.

Menurutnya, jarak lapan kilometer dari Pekan Pengkalan Hulu memudahkan pendaki tiba di kaki gunung berkenaan.

Katanya, masa diperlukan untuk sampai ke puncak ialah tiga jam.

“Kami mencari masa yang sesuai mendaki Gunung Lang supaya sempat tiba ke puncak sebelum matahari terbit,” katanya.

Nurul Jannah berkata, sepanjang perjalanan mereka meredah belukar dan melalui laluan berbatu.

“Anak muda wajar memulihara alam dan menjaga keasliannya. Daripada melakukan perkara tidak berfaedah, mereka boleh menikmati udara segar di puncak Gunung Lang dan menyertai aktiviti riadah untuk kesihatan.

“Apabila mereka melakukan aktiviti berfaedah gejala tidak sihat dapat dihindarkan,” katanya.

Pendaki Hamdan Kamarudin, 40, dari Pengkalan Hulu berkata, dia menyertai kumpulan itu kerana ingin melihat sendiri keindahan puncak gunung berkenaan.

Katanya, sebelum ini dia hanya mengetahui daripada rakan mengenai keindahan gunung hingga teruja menikmati keindahannya.

“Saya mendaki buat kali kedua kerana ia menyeronokkan selain melihat flora serta fauna yang memberi ketenangan.

“Saya dapat melihat matahari terbit atas kepala dari jarak yang mempersonakan,” katanya.

Malim gunung Mohd Saufi Subray, 40, berkata, dia membuat laluan terlebih dulu dan menjaga keselamatan pendaki sebelum membawa mereka ke puncak gunung.

Beliau berkata, soal keselamatan menjadi perkara utama ketika pengunjung mendaki gunung berkenaan.

“Saya berharap Gunung Lang dapat dikomersialkan kerajaan negeri Perak sebagai destinasi pelancongan di daerah ini.

“Sebab itulah saya memulihara alam dan khazanah hutan supaya kekal indah, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 10:26 AM