SEORANG pendaki melihat pemandangan di kawasan Rokface yang menjadi laluan baru ke puncak Kinabalu.
SEORANG pendaki melihat pemandangan di kawasan Rokface yang menjadi laluan baru ke puncak Kinabalu.
PENDAKI melalui kawasan di antara Sayat-Sayat dan Rokface yang berlaku runtuhan batu ketika gempa bumi pada 5 Jun lalu.
PENDAKI melalui kawasan di antara Sayat-Sayat dan Rokface yang berlaku runtuhan batu ketika gempa bumi pada 5 Jun lalu.
SEBAHAGIAN laluan baru ke puncak Kinabalu yang perlu mendaki tangga.
SEBAHAGIAN laluan baru ke puncak Kinabalu yang perlu mendaki tangga.
LALUAN baru ke puncak.
LALUAN baru ke puncak.
Oleh Ardyhansah Amat


Berjalan dalam persekitaran gelap sambil ditemani nyanyian unggas, ditambah suasana dingin yang mencengkam tulang menjadi cabaran wajib ditempuhi setiap pendaki untuk menawan puncak Gunung Kinabalu.

Diterangi sinaran bulan dan jutaan bintang seakan-akan raksasa batu antara bandar Ranau dan Kota Belud menyambut kehadiran 135 pendaki selepas hampir enam bulan sepi tanpa kelibat manusia.

Dengan berbekalkan semangat tatkala keringat hampir tewas, semua 135 pendaki perlahan-lahan menelusuri permatang dan berpaut pada tali untuk mendaki sedikit demi sedikit sebelum tiba di puncak sebelum fajar menyinsing dari ufuk timur.

Saat cahaya merah mentari mula menyimbah puncak Gunung Kinabalu, perlahan-lahan keindahan alam semula jadi Yang Maha Esa mula menampakkan diri.

Namun, dalam keasyikan melihat pemandangan indah, sudah pasti tragedi gempa bumi 5.9 magnitud pada 5 Jun lalu bermain dalam fikiran, tambahan pula melihat rekahan batu di puncak gunung yang terhasil akibat bencana itu.

Penulis sempat menoleh jam tangan menunjukkan 7.15 pagi, waktu sama ketika gegaran menggoncang puncak tertinggi di Asia Tenggara itu yang mengorbankan 18 nyawa pendaki dan malim gunung.

Gegaran itu dapat dirasai sehingga ke Kota Kinabalu yang terletak lebih 80 kilometer dari Kundasang.

Penulis tidak dapat mengambarkan perasaan lebih 100 pendaki yang ketika itu berada di puncak yang dihujani debu dan batu.

Peristiwa pahit dalam sejarah negara itu menyebabkan kawasan Donkey’s Ears, Tunku Abdul Rahman, Ugly Sister dan St John ‘padam’ seketika.

Debu hasil runtuhan batu di puncak gunung turut disaksikan ratusan penduduk di pekan Kundasang yang sedang sibuk melakukan urusan harian masing-masing.

Walaupun pembukaan semula aktiviti pendakian Gunung Kinabalu disambut baik dalam kalangan malim gunung dan porter, jauh di sudut hati mereka masih tersimpan seribu kedukaan, lebih-lebih lagi ketika dalam perjalanan turun dari Sayat-Sayat ke Panalaban.

Sepanjang laluan ini, masih terdapat runtuhan batu besar yang menjadi tempat beberapa mayat pendaki ditemui.

Malim gunung Clarance Sulidan, 49, tidak dapat menggambarkan perasaannya apabila terpaksa melalui kawasan berkenaan.

“Ia akan kekal menjadi sejarah dan kami perlu meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Sudah tentu ia pengalaman sukar digambarkan dengan kata-kata, malah jika boleh saya tidak mahu mengingati saat-saat sukar yang berlaku pada hari itu,” katanya sayu.

Ketika dalam perjalanan menuju ke Panalaban, penulis sempat melalui puncak Donkey’s Ears dan Tunku Abdul Rahman yang mengalami kerosakan akibat gempa bumi.

Ibarat luka, terdapat lubang besar pada puncak Tunku Abdul Rahman, manakala Donkey’s Ears yang sebelum ini digambarkan seolah-olah sepasang telinga keldai kini tinggal satu.

Menurut Clarance, sepanjang hampir enam bulan ditutup, malim gunung dan porter bertungkus-lumus membaiki laluan ke puncak itu.

“Kami turut mengambil upah mengangkat kayu belian seberat 25 kilogram (kg) setiap satu bagi membina anak tangga.

“Walaupun berat dan dibayar upah, impian kami sebenarnya mahu melihat kawasan ini dikunjungi semula oleh pendaki, “ katanya.

Sementara itu, seorang pendaki warga Singapura, Hoong Ah Sin, 66, berkata, walaupun kejadian gempa bumi itu mengorbankan rakyat negaranya, ia tidak mematahkan semangat untuk menawan Gunung Kinabalu buat kali kelapan.

“Tidak dapat dinafikan ramai warga Singapura takut mendaki selepas tragedi itu.

“Bukan hendak memperkecilkan hati mangsa atau keluarga mereka, bagi saya kejadian seperti itu tidak seharusnya menjadi kayu pengukur untuk tidak lagi berkunjung ke sini,” katanya.

Menurut lelaki yang mendapat jolokan Raja Ledang dalam kalangan warga media di Singapura, dia berpuas hati dengan laluan baru ke puncak yang menyajikan lebih banyak pemandangan indah selain tahap keselamatan pendaki dipertingkatkan.

“Sepanjang lapan kali menawan puncak Gunung Kinabalu, ini laluan terbaik dan selamat, tetapi mecabar yang pernah saya tempuhi.

“Selepas ini, saya tidak teragak-agak untuk mempromosikan laluan baru Gunung Kinabalu ini kepada media dan keluarga, sekali gus meyakinkan kembali rakyat Singapura untuk kembali ke sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 10:52 AM