PEMANDANGAN menakjubkan dari menara pemerhatian.
PEMANDANGAN menakjubkan dari menara pemerhatian.
Muhamaad Razis Ismail


GUNUNG Trus Madi, Sabah cukup dikenali dalam kalangan pendaki kerana memiliki laluan pendakian antara yang tercantik di negara ini.

Apa tidaknya, di sepanjang laluan, pendaki disajikan pemandangan hutan berlumut yang sungguh menakjubkan.

Lebih menarik, gunung kedua tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 2,642 meter ini memiliki tiga pilihan laluan pendakian iaitu laluan Mastan, Mannan dan Kaingaran yang mempunyai keunikan serta cabaran tersendiri.

Kaingaran antara laluan terpendek ke Gunung Trus Madi iaitu membabitkan perjalanan sejauh 9.8 kilometer (km) yang memakan masa selama dua hari satu malam.

Ia hanya boleh dilalui maksimum 15 pendaki sehari memandangkan keluasan penginapannya agak terhad.

Biarpun dikatakan laluan paling santai namun, pendaki tidak boleh mengambil mudah kerana ia mampu menguji kekuatan fizikal dan mental apabila perlu menempuh laluan bertangga, licin serta 'diperdaya' beberapa puncak tipu.

Selepas beberapa tahun laluan Kaingaran ditutup untuk baik pulih dan naik taraf, ia dibuka semula kepada pengunjung luar.

Pada Jun lalu, Roslina Japar bersama sembilan rakan dan jurupandu mengambil kesempatan mendaki Gunung Trus Madi melalui laluan ini.

Roslina berkata, perjalanan dimulakan ke Pekan Tambunan sebelum mereka menaiki kenderaan pacuan empat roda yang mengambil masa selama sejam 30 minit untuk ke tempat permulaan pendakian.

Katanya, pada hari pertama, mereka melalui laluan hutan berlumut sejauh dua kilometer untuk ke tempat penginapan.

"Laluan bertangga ini memang sangat menakjubkan dengan pemandangan hutan dan pokok berlumut ditambah dengan cuaca yang agak sejuk.

PENDAKI mengambil kesempatan merakam gambar.
PENDAKI mengambil kesempatan merakam gambar.

"Perjalanan yang hanya mengambil masa lebih kurang sejam memberikan kami banyak masa untuk menikmati keindahan pemandangan sepanjang perjalanan.

"Secara keseluruhan, saya boleh katakan laluan pada ha

ri pertama agak mudah namun perlu berhati hati memandangkan keadaan laluan berkayu dan bertangga yang agak licin," katanya.

ROSLINA
ROSLINA

Menurutnya, pada hari kedua, mereka memulakan perjalanan seawal 2.30 pagi untuk meneruskan pendakian ke puncak Gunung Trus Madi membabitkan perjalanan sejauh 2.9 kilometer.

"Hari kedua agak mencabar kerana kami perlu mendaki dalam keadaan yang gelap untuk menikmati keindahan matahari terbit.

"Namun kerdipan bintang dan bima sakti di langit yang jelas kelihatan memberi semangat kepada kami untuk meneruskan perjalanan ke puncak. Sememangnya ia satu pemandangan yang sangat menakjubkan ," katanya.

Selepas tiga jam mendaki dalam kegelapan, akhirnya mereka berjaya tiba di Menara Pemerhatian Gunung Trus Madi tepat 5.30 pagi.

DISAJIKAN dengan keindahan alam semula jadi di kiri dan kanan laluan.
DISAJIKAN dengan keindahan alam semula jadi di kiri dan kanan laluan.

"Segala penat lelah mendaki hilang serta merta apabila disajikan dengan pemandangan matahari terbit yang menakjubkan.

"Dari kejauhan, jelas kelihatan keindahan Gunung Kinabalu yang dikelilingi lautan langit biru ," katanya.

Kemudian mereka meneruskan perjalanan untuk ke puncak Gunung Trus Madi sejauh 300 meter yang dipenuhi dengan pokok berlumut dan periuk kera yang menghiasi kiri serta kanan laluan.

KEMUDAHAN penginapan yang disediakan untuk pendaki bermalam.
KEMUDAHAN penginapan yang disediakan untuk pendaki bermalam.

Katanya, selepas merakam kenangan di puncak Gunung Trus Madi, dia bersama rakannya yang lain meneruskan perjalanan kembali ke tempat penginapan seterusnya turun ke tempat permulaan semula.

"Pengalaman turun dari puncak pada sebelah siang memang sangat berlainan berbanding keadaan masih gelap kerana siapa sangka rupanya kami melalui tiga puncak kecil yang mencabar.

"Patutlah pengunjung sebelum ini mengatakan ia laluan penipuan kerana kami dapat melihat cabaran mendaki turun naik puncak-puncak kecil ini.

"Namun pengalaman berdepan kesukaran ini 'ditutupi' dengan keindahan laluan berlumut sepanjang laluan turun.

"Sememangnya laluan Kaingaran ini adalah perjalanan yang mencabar namun penuh dengan keindahan sepanjang laluan. Saya sangat bersyukur kerana dapat mendaki dengan cuaca yang baik walaupun ia boleh dikatakan pendakian yang sangat menguji mental dan fizikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 7:00 AM