PASUKAN SAR diberi taklimat sebelum operasi diteruskan untuk mencari wanita yang hilang di hutan Nanga Engkeranji di Pakan. FOTO Ihsan JBPM.
PASUKAN SAR diberi taklimat sebelum operasi diteruskan untuk mencari wanita yang hilang di hutan Nanga Engkeranji di Pakan. FOTO Ihsan JBPM.
Mohd Roji Kawi


Bintangor: Kesan tempat berteduh menjadi petunjuk baharu kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan seorang wanita yang hilang, di hutan Nanga Emgkeranji, di Pakan, di sini, sejak seminggu lalu

Turut ditemui semalam, kesan tapak kaki dan tangan di kawasan di tebing anak Sungai Raba.

Susulan penemuan petunjuk baharu itu, operasi SAR yang masuk hari keenam, hari ini diperluaskan hingga ke hulu anak sungai berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, operasi membabitkan 55 anggota terdiri daripada 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor termasuk dari unit STORM, MUST Team dan anjing pengesan serta 10 anggota polis dengan dua anjing pengesan.

Operasi turut disertai enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dibantu 28 penduduk kampung.

"Kesan tempat berteduh serta kesan tapak kaki dan tangan itu ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi upacara ritual miring yang diadakan penduduk kampung ketika operasi pencarian mula dilancarkan sebelum ini.

"Penemuan petunjuk itu memberi harapan kepada kami untuk mengesan mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa, Chemeral Mering, 63, dari Rumah Panjang Lingoh, Nanga Engkeranji, Pakan, dilaporkan hilang selepas balik dari pekan Pakan, Jumaat lalu.

Sebelum kehilangannya, mangsa dikatakan menghadiri temu duga untuk mendapatkan bantuan di Pejabat Kebajikan Daerah Pakan.

Selesai temuduga, mangsa dikatakan pergi ke Nanga Entaih dan menunggu anak buah untuk membawanya balik ke kediamannya di Nanga Engkeranji.

Bagaimanapun, selepas lama menunggu, anak buahnya tidak datang dan mangsa kemudian berjalan melalui jalan lama ke kediamannya yang mengambil masa satu jam perjalanan, namun sehingga malam, mangsa tidak tiba di rumah panjang.

Menyedari kehilangannya, penduduk kampung melancarkan usaha mencari, namun gagal dan JBPM hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 8.03 malam, Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 11:57 AM