Asrol Awang

Kuantan: Setakat 11 pagi, seramai 15 bayi merdeka dilahirkan di lima hospital di Pahang pada Hari Kebangsaan Ke-66, hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, jumlah itu membabitkan 10 bayi lelaki dan lima bayi perempuan.

Katanya, semua bayi berkenaan berada dalam keadaan sihat dan semuanya dilahirkan secara normal kecuali seorang yang melalui kaedah vakum.

"Bayi merdeka pertama dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini pada 12.09 tengah malam tadi iaitu bayi lelaki seberat 2.94 kilogram (kg)," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, HTAA mencatat kelahiran tertinggi dengan lapan bayi, diikuti Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh dengan empat kelahiran.

Katanya, masing-masing satu kelahiran direkod di Hospital Kuala Lipis, Lipis; Hospital Pekan, Pekan dan Hospital Sultanah Hajah Kalsom, Cameron Highlands setakat 11 pagi.

"Tahniah kepada ibu dan bapa yang menyambut kelahiran anak mereka pada Hari Kebangsaan ini," katanya.

Sebahagian bayi Merdeka yang lahir sempena sambutan Hari Kebangsaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan. foto FARIZUL HAFIZ AWANG
Sebahagian bayi Merdeka yang lahir sempena sambutan Hari Kebangsaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan. foto FARIZUL HAFIZ AWANG

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 1:32 PM