(Dari kanan) Nor Ashikiin Hussin, 33; Norazlina Abu Talib, 29; Noor Kartini Arif, 28; dan Nurlisa Jamaluddin, 28, memangku bayi yang lahir pada Hari Kebangsaan Ke-59 di Hospital  Tengku Ampuan Afzan (HTAA). FOTO Zulkepli Osman
(Dari kanan) Nor Ashikiin Hussin, 33; Norazlina Abu Talib, 29; Noor Kartini Arif, 28; dan Nurlisa Jamaluddin, 28, memangku bayi yang lahir pada Hari Kebangsaan Ke-59 di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). FOTO Zulkepli Osman
Helmy Abd Rahman dan Shahrinnahar Latib


Kuantan: Bayi kembar lelaki antara 19 bayi yang dilahirkan di Pahang pada Hari Kebangsaan ke-59 sehingga 10 pagi hari ini.

Bayi kembar berkenaan dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) 2.14 pagi dan 2.21 pagi dengan berat masing-masing 2.17 kilogram.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, kesemua 19 bayi itu dilahirkan bermula 12 tengah malam sehingga 10 pagi yang mana 10 daripadanya adalah lelaki manakala selebihnya perempuan.

"HTAA mencatatkan kelahiran tertinggi iaitu lapan kelahiran diikuti dengan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh (7), Hospital Kuala Lipis (2), dan masing-masing satu kelahiran di Hospital Pekan dan Hospital Rompin.

"Bayi Merdeka pertama dilahirkan di HTAA seberat 3.2 kilogram tepat pada 12 tengah malam," katanya.

Sementara itu, 34 bayi Merdeka dilahirkan pada di Terengganu sehingga tengah hari tadi.

Daripada jumlah itu, 20 orang ialah bayi lelaki dan selebihnya perempuan.

Bayi pertama dilahirkan Ummi Atika Mahari, 23, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, 12.26 tengah malam tadi.

Dalam pada itu, Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman berkata, setiap bayi yang lahir di negeri ini akan menerima sumbangan khas daripada kerajaan negeri.

"Setiap anak pertama hingga keenam akan mendapat habuan RM100 seorang, ketujuh (RM200), kelapan (RM300) dan ke-10 ke atas menerima RM500 seorang.

"Sumbangan ini sebahagian kempen meningkatkan kadar kelahiran di Terengganu yang ketika ini mencatat antara 40 hingga 60 kelahiran setiap hari," katanya selepas melakukan lawatan bagi meraikan kelahiran bayi merdeka di HSNZ, tengah hari tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 2:57 PM