Bomba menjalankan operasi mengeluarkan mayat mangsa dari gaung sedalam kira-kira 100 meter. FOTO ihsan bomba
Bomba menjalankan operasi mengeluarkan mayat mangsa dari gaung sedalam kira-kira 100 meter. FOTO ihsan bomba
D J Dolasoh


DUA lelaki ditemui mati, hari ini, selepas kereta dinaiki dipercayai terjunam ke dalam gaung di Kilometer 27 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik - Kupang, Gerik sejak Jumaat lalu.

Mayat Arif Akmal Kamaruzzman, 20, dan An Pon Ai Pon, 26, dikeluarkan dari gaung pada 3.30 dan 5.20 petang hari ini selepas ditemui orang awam dan waris yang mencari mangsa susulan kedua-duanya gagal dihubungi sejak empat hari lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada Jumaat lalu kira-kira 11 malam berdasarkan laporan dibuat keluarga mangsa di Sik, Kedah mengenai kehilangan dua rakan terbabit.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati Proton Wira dinaiki mangsa yang berasal dari Kedah itu dipandu dari arah Gerik ke Kupang, Kedah dan apabila sampai di tempat kejadian kenderaan dipercayai terbabas ke kawasan berumput di kiri jalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 100 meter.

"Akibat dari kemalangan itu, Arif Akmal yang memandu kereta tercampak 50 meter dan An Pon tercampak 25 meter dari kenderaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ismail berkata, bomba yang dimaklumkan mengenai penemuan itu mengeluarkan mayat An Pon pada 3.30 petang dan Arif Akmal pada 5.20 petang.

"Kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 9:30 PM